
Disember 25, 2014.
Awal tahun 2014 dahulu, Malaysia ditimpa kemarau. Hujan tidak turun selama kurang lebih empat bulan. Beberapa buah negeri di Malaysia ada yang menjalankan catuan air. Sehinggakan, kita terpaksa menunaikan solat sunat istisqa’ yang tidak pernah-pernah kita lakukan dalam hidup memohon supaya Allah menurunkan hujan.
Kini, 2014 hendak melabuhkan tirainya. Kita diuji pula dengan bah dan banjir yang melanda beberapa buah negeri di pantai timur dan utara Semenanjung Malaysia. Sekali lagi, kita merayu kepada Allah memohon agar Bumi menelan air dan langit berhenti daripada mencurahkan air.
Aduhai, manusia! Masih butakah kalian? Kita ini lemah sangat. Ya, sangat lemah. Masakan kita masih mahu mendabik dada dan menyombongkan diri di hadapan Tuhan? Dunia sudah tenat, kawan-kawan. Sistem ekologi dunia sudah tidak stabil, tetapi kita masih ego dan terus-menerus melakukan kerosakan di atas muka Bumi tanpa sedikit pun rasa simpati dan empati?
Namun begitu, kasih sayang Allah maha luas. Dia tetap menurunkan rahmat-Nya pada saat banyak manusia yang masih ingkar arahan-Nya. Sedarlah insan, mari kembali ke pangkal jalan!
30: 41
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa-apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Disember 26, 2014.
Malam ini, hasrat untuk memulakan tugasan menyiapkan tutorial membara dalam diri. Terinspirasi daripada sahabat, kononnya. Namun begitu, dengan kondisi rongga hidung yang sering dipenuhi mukus sehari dua ini merencatkan segala azam murni yang telah diniatkan tadi. Tak selesa rasa dibuatnya. Ah, Muhaimin! Cakap sajalah malas hendak buat kerja.
Aku merebahkan diri di atas katil. Tilam yang empuk itu tidak cukup untuk memberikan keselesaan kepada tubuh badanku yang kian kesejukan dek cuaca luar yang dingin terus-menerus tanpa henti. Aku membelek-belek WhatsApp dan membaca segala isi kandungannya. Kebanyakan mesej yang singgah ke dalam peti masuk bercerita mengenai berita terkini musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri di pantai timur dan utara semenanjung. Khabarnya, beberapa kawasan di Selangor dan Johor juga sudah mula dinaiki air. Ditambah lagi dengan berita mengenai beberapa kematian dan mangsa yang hilang ditelan arus deras banjir.
Aku menjadi tidak keruan. Fikiranku terus melayang ke bumi tarbiah yang pernah aku jejaki suatu masa dahulu, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Nilam Puri. Memori ini juga terkenang akan keluarga angkatku di Kampung Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 1, Gua Musang. Bagaimana nasib para asatizah, sahabat, dan keluarga di sana? Ustaz Hazrul Salleh, apa khabar Nilam Puri sekarang ini? Zul Iman, bagaimana kondisi Ime, ummi, dan abah di Paloh?
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ketahuilah kalian, doa kami di sini tidak putus-putus semoga Allah memberi kalian kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini. Walau jasad berada di Kuala Lumpur, namun hati ini sudah terbang ke sana. Semoga kalian sentiasa berada dalam perlindungan-Nya, Insya-Allah ~
2: 155–157
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.”
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata, ‘sesungguhnya, kami ialah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.'”
“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”