
Kalau sahabat-sahabat perasan, dalam banyak-banyak rukun Islam, puasalah satu-satunya rukun Islam yang dilaksanakan dengan ‘tidak melaksanakan’.
Eh, bagaimana itu?
1. Andai diperhatikan, rukun-rukun Islam yang lain kesemuanya dijalankan dengan melakukan perbuatan atau amalinya.
Syahadah dengan menuturkan kalimahnya. Solat dengan bertakbir sehingga memberi salamnya. Zakat dengan mengeluarkan hartanya. Haji pula dengan segala manasiknya.
Namun begitu, ibadat puasa cukup unik. Kita melakukan ibadat tersebut dengan cara tidak melakukan, yakni meninggalkan. Kita berpuasa dengan meninggalkan segala perkara yang boleh membawa kepada pembatalan puasa.
Subhanallah, sesuailah dengan makna puasa itu sendiri dari sudut bahasa iaitu al-imsāk (menahan diri; to abstain).
2. Ada beza antara al-imsāk (الإمساك) dengan al-tark (الترك).
Walaupun makna kedua-duanya dilihat seakan-akan sama, yakni ‘meninggalkan’, ada garis halus yang menjadi pembeza antara kedua-dua istilah tersebut.
Jika al-tark itu dengan maksud meninggalkan perkara yang sememangnya perlu ditinggalkan, maka al-imsāk pula membawa erti meninggalkan perkara yang asalnya dibolehkan untuk kita melakukannya.
Begitulah yang kita praktikkan saat berpuasa. Kita meninggalkan perkara-perkara harus seperti makan, minum, persetubuhan, dan sebagainya pada siang hari demi menyahut perintah Allah agar berpuasa.
3. Kemuncaknya, apabila kita berjaya melaksanakan apa yang diperintahkan, meninggalkan apa yang ditegah, malah menahan diri pula daripada apa yang asalnya diharuskan, itulah matlamat takwa yang mahu kita capai dan gapai.
Kalaulah perkara-perkara halal pun kita mampu untuk meninggalkan, maka sepatutnya tiada masalah untuk kita menjauhi setiap perkara yang haram pula.
4. Kesan al-imsāk ini kalau kita perhatikan, sebenarnya memberikan impak yang sungguh positif dalam kehidupan melalui tiga kriteria berikut:
- Shakhṣī (adab, peribadi)
- Iqtiṣādī (ekonomi)
- Siyāsī (politik)
5. Menahan diri dari sudut pembentukan peribadi (ta’dīb) itu, umpamanya mengekang diri daripada sifat marah tidak tentu hala, mengelak daripada terlibat dalam perdebatan yang tidak sihat, menjauhi pertelingkahan tanpa kesudahan, meninggalkan perbuatan sia-sia, dan lain-lain.
Seterusnya, menahan diri dari aspek ekonomi pula, misalnya ialah menyekat kemahuan diri kita daripada berbelanja terhadap perkara-perkara yang tidak perlu, mengawal aliran tunai kita, dan merancang kewangan sebaiknya.
Demikian juga, menahan diri dalam bab siasah adalah seperti kekal memilih kehidupan yang sederhana dan bersikap qanā‘ah, walaupun pada masa di puncak kekuasaan, serta pada saat dunia telah berada dalam genggaman, kita bisa memiliki segala-galanya.
6. Qudwah di atas turut telah dipertontonkan oleh para pimpinan kita seperti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz raḥimahuLlāh, Tuan Guru Haji Abdul Hadi (Ayah Chik) ḥafiẓahuLlāh, dan ramai lagi.
Disebabkan para pemimpin kita berhasil menahan diri, Allah SWT dengan limpahan rahmat-Nya masih memelihara jemaah dan kerajaan yang ditadbir oleh mereka.
7. Bahkan, junjungan mulia kita, RasūluLlāh ﷺ sendiri menunjukkan contoh yang sungguh terpuji.
Diriwayatkan pada suatu hari, Baginda bertanyakan isteri Baginda, Saidatina ‘Ā’ishah raḍiyaLlāh ‘anhā; adakah terdapat makanan di rumah untuk dijamah pada hari tersebut. Lalu dijawab oleh Saidatina ‘Ā’ishah dengan ketiadaan makanan.
Maka, RasūluLlāh ﷺ terus berpuasa sunat pada hari itu. Walhal, dengan taraf Baginda ﷺ sebagai pemimpin masyarakat dan negara, boleh sahaja seandainya Nabi ﷺ meminta untuk dipenuhi kemahuannya.
Walau bagaimanapun, RasūluLlāh ﷺ tidak berbuat demikian, bahkan memilih untuk berpuasa, yakni menahan diri. Masya-Allah.
Bukankah orang yang paling mampu memelihara masyarakat ialah mereka yang paling mampu memelihara diri?
8. Allahuakbar, begitu sekali puasa mendidik kita dalam menahan diri. Menahan diri daripada dunia yang sementara demi manfaat akhirat yang selamanya.
Ketika ada sesuatu yang halal, ada kemahuan, dan mampu untuk kita buat, tetapi kita memilih untuk tidak melakukan. Masya-Allah, kelihatan kecil, namun sangat besar ertinya.

Demikianlah sedikit catatan fakir daripada pengisian sebelum iftar semalam (4 Mei 2021) yang disampaikan oleh Tuan Syahir Che Sulaiman.
Perkongsian itu walaupun temanya ringkas dan santai, tetap cukup memberikan sudut pandang baharu, khususnya kepada diri ini berkenaan hakikat puasa.
Alhamdulillah, tidak cukup dengan kebahagiaan melalui sungkai (buka puasa) secara berjemaah, diadun pula keseronokannya dengan kekenyangan pengisian rohani bersama Lembaga Pengarah dan teman-teman Pustaka Permata Ummah (PPU).
Inilah indahnya Ramadan. 😇🤲