Pesanan buat anda yang tidak gemar memendekkan rambut anda yang panjang atau anda yang tidak boleh digunting rambutnya kerana botak, tiada rambut, atau ego, mohon jangan baca. Saya tidak bertanggungjawab atas setiap keguguran dan kegatalan rambut selepas anda membaca penulisan ini.

Jam enam petang. Beberapa hari sebelum bulan Ramadan…
Saya memecut laju skuter ‘Saya Yang Menunggang’ (SYM) milik keluarga kesayangan saya yang dibawa dengan azam yang jitu. Semangat yang membara bagi menyambut kedatangan Ramadan yang mulia dengan rambut yang baharu. Eh, bukan rambut yang baharu, tetapi dengan gaya rambut yang baharu (baca: memendekkan rambut yang panjang)!
Maka, saya keluar dari rumah menuju ke deretan rumah kedai yang berada di kawasan perumahan saya, Saujana Utama. Siapa yang tidak kenal dengan nama Saujana Utama, kawasan perumahan yang sedang pesat membangun dan boleh dikatakan antara yang popular di Sungai Buloh, Selangor. Sebut saja keperluan asas yang diperlukan, semuanya ada di sini: sekolah, tadika, pasar raya, stesen minyak, bank, kedai makan, restoran, rumah kelab, dan banyak lagi. Masjid dan surau di sini juga meriah dengan majlis ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.
Bukan itu sahaja, Saujana Utama juga bahkan menjadi tempat kediaman bagi beberapa orang tokoh masyarakat (public figure) yang terkenal di Malaysia, antaranya ialah Ustaz Amaluddin Mohd Napiah (Pengerusi MUNSYID), Ustaz Pahrol Mohd Juoi (penulis), Ustaz Zahiruddin Zabidi (penulis), dan Azli Senario (pelakon). Alhamdulillah, saya sangat beruntung dapat menetap di sini. Semoga suatu hari nanti akan muncul lagi salah seorang tokoh masyarakat yang juga menetap di Saujana Utama. Siapa lagi kalau bukan Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin. *angkat kening sambil tersenyum cool
Sudah lama sebenarnya saya tidak mendapatkan khidmat gunting rambut di sini. Maklumlah, sedari tingkatan satu hingga kini, saya jarang berada di rumah kerana menetap di asrama atau kolej. Maka, banyak juga helaian rambut saya yang gugur di Bumi lain, bukan di sini. Jadi, saya tidak berapa tahu kedai gunting rambut mana yang terbaik yang harus saya pilih dalam misi menggugurkan helaian rambut mulus ini.
Pusing sana, pusing sini… Alhamdulillah, akhirnya Allah mengembalikan semula memori saya terhadap sebuah kedai gunting rambut yang pernah saya kunjungi bersama abang saya beberapa tahun yang lalu. Bezanya, pada waktu itu, abang saya yang menjadi pelanggan sementara saya sebagai peneman. Namun, pada hari tersebut, saya pula sebagai seorang pelanggan namun tanpa abang menjadi peneman. Fulamak, ayat…
Dari luar, saya dapat melihat seorang abang berbangsa Melayu sedang memberikan khidmat menggunting rambut salah seorang pelanggannya. Ya, abang itulah pemilik kedai gunting rambut tersebut. Saya melangkah masuk ke dalam kedai itu yang merupakan salah sebuah kedai daripada aneka kedai di SU Mall. Kelihatan seorang lagi pelanggan bersama anaknya sedang duduk menunggu giliran untuk diberikan khidmat.
Saya lantas mendapatkan sebuah kerusi yang kosong dan terus mendaratkan punggung di situ. Mataku tertumpu ke arah televisyen di dalam kedai yang sedang memaparkan sebuah sinetron dari negara seberang. Entah apa tajuknya, saya tidak ingat. Teringat ketika saya masih berada di bangku sekolah, walaupun ada sebahagian sinetron yang entah apa-apa jalan cerita dan kualitinya, namun entah bagaimana, saya pernah terlayan juga sinetron sebegini. Mengisi masa petang agaknya. Astaghfirullah al-‘Azim…
Sementara menunggu giliran saya tiba, saya mencapai senaskhah Majalah Gen-Q yang berada di atas rak buku lalu membacanya bagi menghilangkan kebosanan. Dalam kekhusyukan membaca itu, sesekali pendengaran saya tertangkap ke arah perbualan antara si abang tukang gunting dengan pelanggannya. Mesra sekali bunyinya. Kadangkala terdengar juga abang itu menyebut beberapa nama parti politik yang ada di negara ini. Bagus abang ini, pandai melayan pelanggan, fikir saya.
Namun begitu, saya tidak terlalu fokus dalam menangkap isi perbualan mereka kerana asyik melayan naskhah Gen-Q yang sedang berada di atas tangan. Kalau ada kawan di samping saya, tentu ayat mereka akan berbunyi lebih kurang begini, “Masya-Allah enta, anak soleh, baca Majalah Gen-Q. Bangga nahnu dapat kawan macam enta.” Pui! Haha.
Dipendekkan cerita, setelah selesai dua orang pelanggan yang datang lebih awal daripada saya mendapatkan khidmat mereka, akhirnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Jam di dinding lebih kurang pukul 6.40 petang. Pada waktu itu, tinggal saya dan seorang lagi pelanggan lain yang berada di situ. Saya bingkas meletakkan bahan bacaan yang telah dibaca dan terus menuju ke ‘medan pengguguran rambut’. Lantas, saya meminta abang tersebut untuk memendekkan rambut saya sehingga ke skala tiga. Abang itu tersenyum sinis. “Ish, betul ka ni, dik? Nak pendek sampai nombor tiga? Tak hensemlah, dik. Bagi pendek cukup sajalah.”
Aiya, dah kenapa abang ni? Menggugah keyakinan si Muhaimin Safaruddin betul. Lalu, saya berubah fikiran dan meminta beliau cukup sekadar memendekkan rambut saya supaya nampak kemas dan rapi. Abang itu tergelak kecil. “Hehe, baru kena ‘jentik’ sikit dah goyang. Macam mana ni…” Dalam hati, ya Allah, malunya aku! Saya hanya tersengih-sengih macam kerang busuk, padahal saya belum pernah pun melihat kerang busuk tersengih bagaimana. Eh, kerang reti senyumkah?
Lalu, abang tersebut menyarungkan kain penutup badan dan mula menjalankan tugasnya sebagai penggunting rambut dengan lancar. Ketika fasa pengguntingan rambut, boleh dikatakan tempoh tersebut antara salah satu fasa yang paling saya suka dan nikmati dalam hidup di samping fasa-fasa lain seperti fasa tubuh badan diurut, fasa tapak kaki digeletek, fasa kuku tangan dipicit, fasa telinga dikorek dengan putik kapas (semasa kecil), dan banyak lagi yang tidak mampu saya sebutkan kesemuanya di sini. Jangan tanyalah kenapa, dah memang saya suka.
Ketika beliau sedang rancak menggunting helaian rambut saya, tiba-tiba datang seorang mamat Melayu ke kedai tersebut dan bertanya sama ada dia sempat mendapatkan perkhidmatan gunting rambut pada masa itu juga atau tidak. Abang tukang gunting rambut lantas menjawab, “saya (sebelum) Maghrib saya tutup kedai. Ni ada seorang lagi tengah tunggu turn. Awak datanglah lepas Maghrib. Dalam pukul lapan macam tu ka.” Mamat yang datang tadi terus berkata “ok” dan berlalu pergi. “Hmm, time-time nak Maghriblah baru ramai orang datang. Dah selalu sangat jadi macam ni,” abang tersebut memulakan bicara. “Sebelum Maghrib tak ada pula nak datang. Benda ni dah jadi macam budaya dalam orang Melayu kita.”
Saya hanya mampu tersenyum hambar. Kemudian, saya teringat peristiwa yang hampir serupa yang berlaku ke atas seorang sahabat saya, Muhammad Rofiq yang pernah bekerja sebagai penjaga kaunter koperasi di salah sebuah kolej kediaman di Universiti Malaya (UM). Rofiq pernah bercerita, ketika dia ingin menutup koperasi kerana waktu Maghrib tinggal beberapa minit saja lagi, ketika itulah baru berpusu-pusu pelanggan datang. Terpaksalah Rofiq menangguhkan penutupan koperasi demi melayan pelanggan. Menguji keimanan betul, katanya.
“Benda ni dah jadi budaya orang Melayu. Mentaliti ni kena ubah. Saya dah berpuluh tahun hidup dan banyak bangsa dah saya berkawan. Dulu sekolah ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, macam-macam lagi. Dah kenal sangat bangsa lain macam mana,” beliau menambah. “Sifat kita ni suka sangat bertangguh. Syaitan, iblis pun hasut kita macam tu la, suruh tangguhkan taubat! Sebab kita ingat kita banyak masa lagi.” Wah, ini menarik! Saya mengiyakan cepat-cepat. Subhanallah, tersentap saya mendengarnya.
Perbualan diteruskan lagi dengan beberapa siri persoalan, jawapan, buah fikiran, dan pendapat.
“Dik belajar mana dik?”
“Oh, saya belajar UM. Saya baru ja habis asasi dua tahun bulan empat yang lepas. Sekarang tengah cuti. Insya-Allah sambung degree bulan sembilan nanti.”
“Oh, nanti degree ambil course apa?”
“Insya-Allah, ambil kos Pengajian Islam dan IT.”
“Oh, baguslah adik.”
“Alhamdulillah…”
“Nanti kalau nak cari kerja, carilah yang ada kaitan dengan bidang yang kita belajar nanti.”
“Saya pun sebenarnya tak tau sangat nak kerja apa nanti. Saya kalau boleh biarlah kerja yang ada life, hehe.”
“Hehe. Tapi, kalau ikut pendapat abang, dunia ni nak kiamat dah. Kita sebenarnya dah tak ada masa dah nak fikir atau dapatkan kerja yang semata-mata nak kumpul duit, cari harta banyak-banyak. Sekarang ni ialah masa untuk kita tambah ilmu agama. Abang pun kadang-kadang ada masa, duduk dengar kuliah kat masjid lepas solat. Tapi, nak kerja apa-apa pun boleh, tak kisah. Yang penting biar kerja kita bermanfaat.”
“Ya, ada sumbangan untuk Islam.”
“Baguslah adik…”
” 🙂 “
Itulah antara bibit-bibit perbualan ringkas yang sempat dirakamkan ke dalam kotak memori. Banyak lagi topik perbualan yang dibincangkan sebenarnya pada hari tersebut, namun maaflah kerana saya sendiri pun tidak berapa ingat setiap isi dan butir perbualan. Mungkin akibat terlalu khusyuk dan tenggelam dalam keasyikan dunia pengguntingan rambut. Walau bagaimanapun, saya telah pelajari banyak hikmah dah hemah daripada abang tersebut walaupun beliau hanya bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada beliau atas layanan kelas A yang diberikan. Insya-Allah, saya akan menjadi salah seorang pelanggan tetap abang jika rambut saya sudah mulai panjang kembali, hoyeah!
Alhamdulillah, penampilan saya kelihatan lebih segak dan kacak dengan rambut yang telah dipendekkan. Nak tengok gaya baharu saya? Tak mengapalah, terima kasih, wakaka. Tetapi, setelah saya keluar dari kedainya, baru saya tersedar yang saya terlupa untuk bertanyakan namanya. Hendak masuk semula ke kedainya semata-mata untuk bertanyakan nama, terasa segan pula. Hilang cool saya. Namun begitu, melalui pemerhatian saya ke arah kain rentang yang digantung di hadapan atas kedai, saya dapat mengagak bahawa panggilan untuk abang tersebut ialah abang Joe. Insya-Allah, jumpa lagi, abang Joe!
Saya menunggang pulang skuter tercinta dengan hati yang gembira, segembira orang mukmin yang merindui kedatangan Ramadan. Ya, itulah hakikat kehidupan. Kita sebenarnya boleh belajar dan mengutip mutiara daripada setiap orang yang kita temui. Tidak kira sama ada dia seorang tukang sapu sampah, tukang cuci tandas, tukang baiki kasut, pengemis jalanan, dan lain-lain profesion, pandanglah setiap orang itu dengan pandangan yang mulia kerana kita tidak tahu, mungkin mereka yang kita anggap sebagai lekeh atau biasa-biasa itu lebih tinggi ketakwaannya berbanding diri kita yang selalu perasan diri lebih hebat dan lebih bertakwa. Seolah-olah kita sudah pasti kita ahli syurga. Ohoi!
Oh, ya! Bercakap soal takwa, Insya-Allah, saya mendoakan semoga kita sama-sama berhasil memperoleh takwa melalui ibadah puasa yang sedang kita jalani ini, amin. Ramadan Kareem!
Pesanan penaja: Rambut anda penuh dengan kelemumur? Gunalah syampu.