Perihal

Saya mula menggeluti dunia blog ini pada akhir tahun 2008 dengan menjejaki pelantar Blogger. Walau bagaimanapun, banyak sekali penulisan yang dihimpunkan di sana ialah hasil salin dan tampal; bercampur-baur antara karya asli dengan adaptasi. Malu betul rasanya untuk saya dedahkan blog tersebut kepada umum.

Akhirnya, bermula Ogos 2016, saya sudah bersikap culas untuk meneruskan penulisan di sana dan mengambil keputusan untuk meninggalkan blog serta acah-acah menyibukkan diri dengan dunia luar pula.

Namun begitu, suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah, saya masih cinta akan arena blog ini, dan kelihatannya, amat rugi untuk saya tidak benar-benar mengabadikan hasil karya tulen saya dalam sebuah platform yang lebih tenang dan menyejukkan mata; sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.

Lalu, atas faktor itu, sekitar April 2019, saya nekad untuk menutup blog lama saya dan mengubah haluan dengan memanfaatkan WordPress pula, sebagai platform untuk saya betul-betul lebih serius memuktamadkan butiran-butiran aksara ini dalam laman peribadi yang tentunya lebih mengasyikkan. Impiannya begitulah.

Maka, lahirlah blog ini bagi merakamkan segala macam bentuk penulisan yang berupa makalah, bingkisan pengalaman, nukilan puisi, serta luahan rasa seorang Muhaimin.

Buat makluman semua, karangan lampau semenjak tahun 2014 yang disaring semula daripada blog terdahulu tidak semestinya menggambarkan pendirian saya pada hari ini, tetapi saya mengekalkannya dalam laman ini sebagai catatan dalam mendaki tangga-tangga kematangan. Ya, begitu.

Akhirulkalam, selamat berkelana dan selamat mengembara di wilayah hikayat saya!

Hamba yang fakir,

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Yang mencita-citakan penulisannya menjadi amal jariah kepada pembaca.

E-mel: muhaimin.safar@outlook.com
Telegram: t.me/MuhaiminSafaruddin