Musim Panas yang Membunga

Malam-malam hening sebegini, entah dari mana angin (mood) untuk imbau kembali (throwback) itu menerpa fikiran hamba; hamba sendiri tidak pasti.

Setahun yang lalu, 1 Julai 2019 merupakan hari pertama Daurah Musim Panas (DAMSAS) 7.0 mula berlangsung di bumi yang pernah menjadi saksi akan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Dua minggu berturut-turut DAMSAS 7.0 terlaksana di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, Sungai Udang sepanjang 1–14 Julai 2019.

Beberapa siri DAMSAS yang awal telah pun berjalan saban tahun sebelum itu dengan sebahagian teman hamba sudah diizinkan oleh Allah untuk berteduh dan mencicip bait-bait ilmu nan melarutkan.

Namun begitu, hanya pada tahun 2019-lah, baru hamba direzekikan oleh-Nya untuk benar-benar menapakkan kaki hamba yang hina dan berteleku jasad di sana bagi mengikuti DAMSAS secara rasmi.

Kali pertama hamba menjalani pengajian secara serius di pondok yang dirindui tersebut adalah pada tahun 2018.

Pada masa itu, Saudara Mustaqim Razalli yang mengepalai Majlis Tarbiah dan Kepimpinan Nasional (MTKN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2018 telah menganjurkan ‘Daurah Mahasiswa Peringkat Kebangsaan: Kesesatan Ideologi Moden’.

Berbekalkan kitab ‘Ancaman Bahaya Sekularisme’, berturutan selama tiga hari dua malam (9–11 November 2018), Alhamdulillah, daurah itu berjaya menemui sasarannya.

Oh, keasyikan berada di sana dan tenggelam dalam suasana – hanya Tuhan sahaja yang tahu nyala rasanya bagaimana!


Walau bagaimanapun, betapa ceritera tahun ini mungkin sedikit berbeda daripada kebiasaan. DAMSAS edisi kali ini terpaksa ditangguhkan asbab pandemik virus korona (COVID-19) yang membadai dunia masih belum reda.

Berbicara mengenai DAMSAS, ada satu kalam mulia Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail ḥafiẓahuLlāh ta‘ālā yang paling hamba kenang saat sesi pembukaan pengajian kitab ‘al-Kharīdah al-Bahiyyah’ pada suatu malam DAMSAS 7.0.

Kitab tersebut menurut Tuan Guru merupakan salah satu kitab yang menjadi sandaran bagi akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dan telah dijadikan bahan pengajian peringkat menengah di Arḍ al-Kinānah Mesir.

Ketika itu, Tuan Guru ada menceritakan serba ringkas bagaimana sejarah DAMSAS bermula di pondok seliaan beliau, yakni Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’.

Ungkap Tuan Guru, DAMSAS ini dimulakan atas inisiatif pelajar-pelajar luar negara sendiri yang pulang berlibur sempena musim panas bagi mengisi masa cuti mereka dengan menjalani daurah.

Subhanallah, begitulah bagaimana nama ‘Daurah Musim Panas’ ini boleh timbul dan berkekalan hingga ke hari ini dengan tahun lalu, DAMSAS telah pun memasuki siri ketujuh sebagai rekod.

Nyata, anak-anak muda yang menjadi pencetus dan penggerak awal DAMSAS pada masa itu telah meninggalkan suatu legasi yang sungguh mulia buat generasi mendatang.

Manfaatnya tersangatlah besar, khususnya buat muda-mudi mahasiswa yang kebanyakannya juga sedang menikmati cuti semester pada fasa-fasa begini (sekitar bulan Jun–Julai).

Serius, hamba begitu kagum akan semangat teman-teman mahasiswa yang dapat mengisi sedikit sebanyak masa lapang cuti semester itu dengan berusaha pergi berlutut dan menuntut ilmu secara berguru.

Betapa hamba sungguh teruja menadah kisah inspiratif seumpama itu. Lantas, hati hamba terdetik; siapa kata anak muda tidak boleh menyumbang sesuatu demi agama walaupun sedikit?

Ya, inilah kuasa dan peranan yang dimiliki oleh anak muda. Siapa lagi anak muda itu kalau bukan kita?

Sekali langkahnya teracung, seisi dunia pun boleh turut berdentum!

Maka, pesan hamba yang fakir hai diri dan teman-teman yang dicintai, ayuhlah sama-sama kita gali apa manfaat yang kita miliki untuk kita sirami dan bajai.

Kelak, pepohon ini yang kita harapkan bakal tumbuh mengakar, menjulangnya dahan yang kekar, serta lengkap pula dengan daunan dan bungaan yang mekar. Kekal subur mewangi.

Mudah-mudahan, akan terus menjadi teduhan pula buat seluruh warga untuk ditumpang redup bayangnya dan sebagai sandaran belakang mereka.

Kepada Baitul Qurro’ nan dikasihi, Insya-Allah, semoga wabak ini segera diangkat pergi, dan semoga kami bisa diberikan kesempatan untuk kembali bertapa di sana lagi.

👓
Muhaimin Safaruddin.
https://t.me/MuhaiminSafaruddin


Nota:

Catatan di atas merupakan adaptasi dan cuplikan daripada penulisan asal ‘Projek Baitul Qurro’’ kendalian Saudara Hafiz Paizull Azhar, mantan pimpinan GAMIS Perlis 2019 dan Pengarah DAMSAS 7.0.

Doakan khidmat kecil demi kecintaan kepada Tuan Guru ini berhasil dengan jaya ya, teman-teman.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.