Tak Salah untuk Belajar daripada Dua Salah!

Setelah begitu lama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2019/2020 ‘bercuti panjang’ asbab pandemik COVID-19 yang membadai dunia, termasuk negara asal EPL iaitu England, awal pagi tadi (waktu Malaysia), perlawanan EPL telah pun bersambung semula. Hoyeah!

Namun begitu, saya tidak pastilah kenapa dan bagaimana boleh bermula kembali jenaka terhadap salah seorang pemain prolifik EPL, Mohamed Salah dalam dunia maya sehingga muncul pelbagai ‘Internet meme’ yang berkaitan.

Sebenarnya, apa salah Salah? Haha, ada-ada saja perangai wargamaya (netizens) kita.

Walau bagaimanapun, dalam hantaran kali ini, bukan hal itu yang ingin saya fokuskan.

Saya cuma ingin mengajak pembaca sekalian untuk kita memaknai kalam pujangga “belajar daripada kesalahan”.

Ya, bukan sekadar maksud literal ‘salah’ itu sendiri, bahkan banyak sekali yang boleh kita belajar daripada figura yang bernama ‘Salah’.

Sebut nama ‘Salah’, fikiran saya bukan sekadar akan mengingati nama Mo Salah sahaja, bahkan pasti akan terkenang juga seorang lagi tokoh yang amat terkenal di seantero dunia: Sultan Salahuddin al-Ayyubi.

Jika kita teliti, nama ‘Salah’ sebenarnya merupakan kalimah Arab (صَلَاح) yang membawa maksud yang sangat mulia – ‘kebaikan’ (righteousness).

Jika namanya ‘Salahuddin’ (صَلَاحُ الدِّيْن) pula, namanya memberi makna ‘kebaikan agama’ (righteousness of the faith).

Daripada kata akar ‘ṣalaḥa’ (صَلَحَ) atau ‘aṣlaḥa’ (أَصْلَحَ) ini jugalah, muncul perkataan terbitan yang lain seperti ‘ṣāliḥ’ (صالح – orang soleh, baik), ‘iṣlāḥ’ (إصلاح – pembaikan), ‘muṣliḥ’ (مصلح – orang yang melakukan islah), dan sebagainya.

Kita kembali semula kepada kisah dua orang Salah.

Jadi, setelah saya membuat beberapa pemerhatian dan pembacaan, ada beberapa persamaan atau sikap yang boleh kita belajar dan ambil pedoman daripada kedua-duanya:

1️⃣ Keterkaitan dengan Mesir dan sifat kepemimpinan.

• Mohamed Salah sememangnya anak jati Nagrig, Basyoun, Mesir. Beliau telah berjaya mengemudi barisan hadapan pasukan bola sepak kebangsaan negaranya untuk mara ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2017.

• Selain itu, beliau juga menjadi penjaring terbanyak dalam edisi Kelayakan Piala Dunia Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) 2018 bagi membantu Mesir layak ke Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018.

• Sultan Salahuddin atau nama sebenarnya Yusuf ibn Ayyub pula, baginda bukanlah anak jati Mesir kerana baginda berbangsa Kurdi dan dilahirkan di Tikrit, Mesopotamia (Iraq) pada tahun 1137M.

• Namun begitu, baginda telah berjaya menewaskan Kerajaan Syiah Fatimiyyah yang berpusat sebelumnya di Mesir. Baginda juga mengasaskan dan mentadbir Dinasti Ayyubiyyah yang merangkumi wilayah Mesir, Palestin, Syria, dan lembah Hijaz.

2️⃣ Dihormati kawan dan lawan kerana pengaruh kebaikan.

• Sahabat-sahabat pernah dengar cerita bahawa ada seorang pemegang tiket bermusim Nottingham Forest bernama Ben Bird telah memeluk Islam kerana terinspirasi dengan Mo Salah?

• Bird pada asalnya perlu membuat satu disertasi akademik yang mengulas topik berkenaan lagu Mo Salah ciptaan para penyokongnya. Lagu tersebut turut memuatkan satu bait lirik “if he scores another few, then I’ll be Muslim too”.

• Hanya dengan satu baris lirik itu sahaja telah memberikan kesan mendalam kepada dirinya; tentang bagaimana pengaruh Mo Salah itu begitu besar dalam menongkah arus Islamofobia di bumi United Kingdom (UK).

• Pengaruh Mo Salah yang juga terlibat secara aktif dalam kegiatan amal, khususnya di kampung kelahirannya Nagrig nyata telah memberikan dampak yang begitu besar dalam kalangan rakyat Mesir.

• Semasa Pilihan Raya Presiden Mesir 2018 yang dimenangi oleh penyandang Abdel Fattah el-Sisi, sejuta orang rakyat Mesir telah memilih undi rosak dan mahukan wira Liverpool FC ini sebagai Presiden baharu Mesir. Fuh.

• Sultan Salahuddin pula, siapa saja yang tidak mengenali baginda? Pahlawan dan kesatria ini sangat dikenali lagi digeruni kerana berjaya membuka kembali kota Jerusalem daripada tangan Tentera Salib pada tahun 1187M.

• Sungguhpun begitu, baginda yang dikenali di dunia Barat dengan nama ‘Saladin’ sebenarnya sangat dihormati oleh semua pihak, termasuk daripada kem musuh.

• Pada saat Baitulmuqaddis telah berhasil dibuka semula, awalnya Salahuddin merancang untuk membalas semula pembunuhan yang dilakukan oleh Tentera Salib terhadap umat Islam pada tahun 1099M.

• Namun sebaliknya, hal tersebut tidak berlaku kerana baginda telah memberikan jaminan keselamatan dan nyawa kepada semua masyarakat Kristian Katolik, termasuklah kepada Tentera Salib yang kalah.

• Subhanallah, begitu besar sekali jiwa dan sifat pemaaf baginda sehingga mengagumkan Raja Richard dan para bangsawan Kristian lainnya.

3️⃣ Sentiasa menghamba kepada Tuhan.

• Antara gaya sambutan yang sangat ikonik dan menjadi identiti bagi diri Mo Salah saat beliau berjaya menjaringkan gol ialah, beliau pasti akan melakukan sujud syukur.

• Beliau tanpa segan silu telah menzahirkan simbol penghambaan seorang Muslim dan agama Islam ini di hadapan ribuan, bahkan mungkin jutaan orang penonton di seluruh dunia.

• Sultan Salahuddin pula, jika kita menyoroti sejarah panjang sebelum kelahiran watak seorang Salahuddin lagi, betapa generasi awal sebelumnya telah banyak melakukan beberapa agenda pengislahan dalam masyarakat.

• Antara yang paling terkenal ialah Imam al-Ghazali yang menubuhkan Madrasah Nizamiyyah dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang juga membangunkan Madrasah Qadiriyah dengan mengambil konsep pendidikan seumpama Madrasah Nizamiyyah di Baghdad.

• Kaedah pendidikan yang diterapkan di kedua-dua buah pusat pendidikan ini merangkumi pelbagai disiplin ilmu seperti tauhid, fiqah, tasawuf, dan ilmu keduniaan yang lain. Akhirnya, kesan pendidikan ini sangat besar terhadap pembinaan generasi berkualiti pada zaman tersebut.

• Mengapa tidak? Ada antara alumni yang pernah dididik secara langsung oleh Syeikh Abdul Qadir telah menjadi penasihat kepada Sultan Salahuddin dalam bidang politik dan ketenteraan. Walhasil, kisah kejayaan pembukaan kota Jerusalem dapat kita saksikan pada hari ini.


Masya-Allah.

Apa-apa yang saya kongsikan ini cumalah picisan daripada kisah panjang dan penuh inspirasi daripada mereka berdua.

Jika teman-teman ada mengetahui lagi isi-isi yang bisa dan sesuai ditambah, boleh terus tuliskan dalam ruangan komen di bawah ya!

Insya-Allah, semoga setiap daripada kita sentiasa diberikan kekuatan untuk menyerap kebaikan daripada kedua-dua orang susuk tubuh hebat ini, seterusnya menebarkan kembali benih-benih kebaikan tersebut kepada masyarakat.

Selamat belajar daripada ‘ke-Salah-an’!

👓
Muhaimin Safaruddin,
We Are Liverpool, This Means More.


Rujukan:

  1. Abdel Fattah Faraj & Asharq al-Awsat, “The inspiring story of Egypt and Liverpool superstar Mohamed Salah,” Arab News, Mac 04, 2018, https://www.arabnews.com/node/1258626/sports.
  2. Ben Bird, “How Mohamed Salah inspired me to become a Muslim,” The Guardian, Oktober 03, 2019, https://www.theguardian.com/football/2019/oct/03/mohamed-salah-inspired-me-become-muslim-liverpool-islam.
  3. “Saladin | Biography, Achievements, & Facts,” Encyclopaedia Britannica, dicapai pada Jun 17, 2020, https://www.britannica.com/biography/Saladin.
  4. Dr. Majid Irsan Kaylani, Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al-Aqsa ke Tangan Umat Islam, terj. Abdullah Abbas & Dr. Ma’ahad Mokhtar (Kuala Lumpur, Islamic and Strategic Studies Institute, 2012).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.