
Pagi tadi, saya memang betul-betul ‘koyak’. Sungguh.
Segala-galanya berpunca setelah saya membuka perbankan dalam talian (online banking) Bank Islam saya.
Saat melihat bahagian ‘Account Summary’ dan pergi ke pautan ‘Account History’, dengan tidak semena-mena, mata saya terus terbeliak.
‘Apa? LinkedIn sedut duit aku RM100++? Bila masa aku bagi persetujuan ni?!’
Hati saya tiba-tiba mendengus marah. Panas.
‘Hari tu sebut, cuma nak bagi free-trial sebulan ja? Apasal tiba-tiba nak sesuka hati main tolak akaun tanpa persetujuan aku?!’
Ah, sudah! Begitu sekali kalbu saya membentak melepaskan geram.
Lantas, saya cepat-cepat buka tab baharu, log masuk ke dalam LinkedIn, pergi ke tetapan ‘Premium Subscription’, dan terus batalkan langganan saya serta-merta.
‘Ya Allah, duit aku melayang, ya Allah. RM100 lebih tu bukan satu jumlah angka yang kecil…’ Saya betul-betul tidak dapat menahan rasa dukacita pada masa itu.
Entah bagaimana, bebola mata saya seakan-akan bocor sebocor-bocornya.
Saya cuba pujuk dan tenangkan diri. Istighfar, Min. Selawat. Tarik nafas dalam-dalam. Hembus perlahan-lahan.
Lantas, fikiran saya teringat akan senaskhah buku kecil yang telah ditunjuki oleh salah seorang teman saya melalui mesej malam semalam.
Entah kenapa, dia memberi maklum akan kewujudan buku itu umpama suatu peringatan gamaknya setelah saya benar-benar hampir terlupa akan bahan bacaan tersebut di rak buku.
Lalu, saya bingkas bangun dan mencapai karya mini yang dimaksudkan.

Naskhah yang berjudul ‘Mudahnya Menjemput Rezeki’ hasil nukilan Fathuri Salehuddin itu telah saya peroleh secara percuma ketika menjadi jawatankuasa “Konvensyen MAWAR 2.0 – Manifestasi Wanita Realistik” anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) di EDC Hotel Kuala Lumpur pada tahun lalu.
(Jangan tanya saya macam mana boleh jadi AJK untuk program yang menyasarkan peserta muslimat, lol).
Namun begitu, biasalah, bak kata orang, benda yang kita dapat secara gratis ini selalunya memang jarang sekali untuk kita hargainya betul-betul. Teruk betul saya.
Selepas membelek dan menelaah helaian karya tersebut satu persatu, Masya-Allah, ternyata buku mini ini bukan sebarangan buku; kandungan isinya membuatkan pandangan saya terhadap konsep rezeki berubah 180 darjah!
Melalui nama tajuknya sahaja sudah cukup memberikan gambaran umum bahawa hakikatnya, rezeki itu amat mudah sekali untuk ‘dijemput’, bukan sekadar ‘dicari’ semata-mata.
‘Ya Allah, kenapa begitu lalai sekali aku dalam memahami rezeki pemberian-Mu…’
Saya jadi sebak, terutamanya apabila sampai di bab yang bercerita mengenai sedekah.
Kisah ajaibnya sedekah ini memang acapkali kita dengar dari mana-mana sumber, namun berapa ramai antara kita yang benar-benar meyakini dan memaknai hakikat sedekah ini?
Di samping bisa menjemput rezeki, sedekah juga ‘berkuasa’ dalam menjadi sebab tertolaknya bala daripada menimpa ke atas diri kita.
Saya lekas teringat akan cerita seorang teman lain mengenai pengalamannya yang berada di hujung tanduk apabila melalui situasi kemalangan yang betul-betul terjadi di hadapan matanya ketika bulan Ramadan.
Dia berada di dalam kereta bersama-sama ayahnya. Katanya, andai terlibat dalam kemalangan tersebut, akan ada dua pilihan sahaja; sama ada parah ataupun maut.
Kaget seketika.
Dia lalu teringat, berbetulan pada pagi itu, dia adalah sedekah seringgit dua kepada kawannya yang memerlukan. Mungkin dengan sebab sedekah itu, Allah telah selamatkannya dan ayahnya daripada bencana.
Subhanallah. Hati saya seolah-olah terawat dan menemui penawarnya untuk kembali membalut ‘kerabakan’ tadi.
‘Hari ini pun hari Jumaat, kan. Apa salahnya kamu niatkan sahaja sedekah untuk duit kamu yang melayang tu,’ saya bermonolog dan memujuk diri.
Lalu, dengan berat hati, saya kuatkan diri untuk menerima ‘kepergian’ jumlah wang itu seadanya. Biarkan saja ia berlalu pergi dan lepaskan dengan tenang.
Insya-Allah, Allah pasti akan gantikan dengan yang lebih baik. Saya kena senantiasa yakin akan hal itu. Senyum. 🌻
Begitulah teman-teman, rezeki Allah sememangnya bersifat ‘misteri’.
Rezeki itu bukan semata-mata soal harta atau wang ringgit. Boleh jadi, rezeki itu hadir melalui kesihatan yang baik, keluarga dan anak-anak yang soleh, kefahaman dalam ilmu, atau kelapangan masa untuk banyak berbuat amal kebajikan yang lain.
Paling penting, kekalkanlah hubungan baik selalu dengan Allah selaku Maha Pemberi rezeki.
Usah terlalu sibuk dengan usaha mencari rezeki sehingga terlupa dari mana punca kuasa rezeki itu tiba.
Insya-Allah, rezeki Allah tidak akan pernah salah alamat, dan setiap makhluk Allah sudah pun tersedia kantung rezeki masing-masing untuknya.
Tinggal lagi kita bagi mencari dan menjemput rezeki itu untuk hadir ke dalam dakapan kita dengan sebaik-baik kehadiran.
Ya Allah, murahkanlah dan berkatkanlah rezeki kami!
👓
Muhaimin Safaruddin.
https://t.me/MuhaiminSafaruddin
P/S: Masa lapang ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kita banyak menimba ilmu ini pun salah satu rezeki, tau!
One thought on “Ada yang Lebih Baik”