Apa Sebenarnya yang Buat Kita Takut Menulis?

Pernah saya terbaca dalam satu hantaran, kemahiran menulis adalah antara kemahiran yang sangat diharapkan untuk dapat dimiliki oleh seorang manusia selepas kemahiran menyanyi.

Berkenaan kemahiran menyanyi itu, kita kena akui bahawa bukan semua orang dikurniakan kelebihan memiliki suara emas oleh Sang Maha Pencipta.

Jadi, pemilik suara perak, gangsa, besi, atau selainnya, termasuklah saya mungkin sudah boleh melupakan hasrat bagi mengasah kemahiran tersebut.

Kalau suara itu sudah tidak sedap, nyanyilah macam mana sekalipun, tetaplah orang tidak betah mendengarnya berlama-lama, betul?

(Harap ada orang boleh bantah kenyataan di atas).

Namun begitu, hal ini berbeza pula dengan kemahiran menulis.

Sungguhpun bukan semua orang juga dilahirkan dalam keadaan serba hebat menulis asbab direzekikan bakat tersebut, namun kita kena sedar bahawa kemahiran menulis masih boleh dipelajari dan diasah.

Andai seseorang itu benar-benar gigih dan berusaha bersungguh-sungguh, dia boleh dan pasti boleh menjadi seorang yang sangat hebat dalam bidang penulisan walaupun pada asalnya, dia tidak dikurniakan bakat sedemikian.

Letaklah dalam apa-apa jua situasi sekalipun, pada akhirnya, usaha tetap akan melebihi bakat. Kalau ada bakat tetapi pemalas pun, apa gunanya, betul?

(Kali ini, saya harap semua orang bersetuju dengan kenyataan di atas).

Jadi, kita berbalik kepada persoalan asal; apa sebenarnya yang buat kita takut menulis?

“Aku tak ada bendalah nak tulis tentang apa.”
“Seriuslah kau nak menulis? Ada tak orang yang nak baca penulisan kau?”
“Eh, aku tak cukup masalah nak menulis! Sibuk sangat dengan kerja itu ini, begitu begini, ke sana ke sini.”

Ops, jangan nyanyi!

Biasa kita jumpa ketakutan (atau sebenarnya alasan) sepertimana di atas, bukan? Ketakutan yang berlegar-legar itu tidak lain hanyalah sekadar ketakutan emosi bersifat keduniaan.

Guru penulisan saya ada memberi saya nasihat; hendak tangani segala ketakutan di atas mudah sahaja, iaitu dengan cara “atasi ketakutan dengan ketakutan”.

Ha, macam mana itu?

Segala ketakutan yang bersifat duniawi tadi, cuba atasinya dengan ketakutan terhadap persoalan akhirat pula.

Kita biasa dengar bukan mengenai hadis berikut?

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya, dan anak soleh yang selalu mendoakannya.”

[HR Muslim no. 3084]

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ

“Kedua-dua kaki setiap hamba pada Hari Kiamat tidak akan beranjak hingga ia ditanya tentang usianya, untuk apa ia habiskan? Tentang ilmunya, sudahkah ia amalkan? Tentang hartanya, dari mana ia mendapatkannya dan untuk apa ia belanjakan? Dan tentang tubuhnya, untuk apa ia gunakan?”

[HR Tirmidhi no. 2417]

Hal ini yang dimaksudkan dengan ketakutan terhadap persoalan akhirat itu tadi. Mendengar hadis di atas sahaja sepatutnya sudah cukup untuk menggetarkan hati setiap daripada kita.

Andai masa kita sudah tiba nanti untuk pergi menghadap Ilahi, apa agaknya karya, legasi, atau penulisan yang boleh kita tinggalkan untuk anak-anak kita dan keturunan mendatang?

Segala usia muda dan kekuatan yang kita miliki saat ini untuk belajar dan melakukan segala pekerjaan, adakah kita benar-benar menggunakan sisa waktunya juga untuk mempelajari ilmu yang bermanfaat, seterusnya menyebarkannya kepada orang lain melalui medium penulisan?

Bukankah persoalan-persoalan sebegini hakikatnya amat menggerunkan andai kita fikirkan sedalam-dalamnya?

Begin with the end of mind!

Untuk itu, marilah bersama-sama kita jadikannya sebagai suatu inspirasi:

‘Impian aku, cita-cita aku, sebelum aku tiada nanti, aku mesti tinggalkan sekurang-kurangnya satu naskhah buku yang bernilai isinya.’

‘Moga-moga dengan itu, segala penulisan yang aku tinggalkan nanti akan terus bermanfaat buat tatapan generasi akan datang dan mengalir pahalanya sebagai sedekah jariah buat aku.’

‘Biarlah anak-anak aku pula dapat terus mendoakan kebaikan kepadaku melalui penulisan yang telah aku kirimkan kepada mereka.’

Maha Suci Allah. Semoga Allah memperkenan setiap doa dan permohonan kita, amin.

Sebelum itu, ayuh sama-sama kita hantarkan juga doa dan kebaikan buat seluruh ulama dan sarjana kita yang telah pergi terlebih dahulu sebelum kita.

Walau jasad mereka telah dikebumi, namun berkat karya dan penulisan mereka yang masih terus melatari, jasa dan sumbangan mereka kekal segar membumi, seolah-olah mereka masih hidup seribu tahun lagi!

Untuk kita pula, jom, capailah sebatang pena dan mulalah menulis!
Tiada pena? Okey jom, gerakkan jemari kita di atas papan kekunci dan mulalah menaip!


Muhaimin Safaruddin,
Penyunting buku ‘30 Tahun GAMIS’.

#SekolahPenulisanRamadan
#TulisBiarSampaiJadi

Nak tulis buku sendiri pula nanti. Doakan!