Kerana Satu Tanda Baca, Berselisihlah Sang Pujangga

Ceritanya begini. Pada tahun 1969, …

Okey, abaikan. Ish, cengkerik betul.

Hanya Kerana Satu Tanda Baca

Okey, kali ini cerita sebenar.

Saya cuma teringat akan kisah yang pernah diceritakan oleh seorang Pensyarah merangkap Guru mulia saya, Dr. Wan Adli Wan Ramli ḥafiẓahuLlāh ketika dalam satu sesi tutorial kursus ‘Metodologi Penyelidikan Islam’ di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Bagaimana ada suatu ketika, dalam suatu perbincangan mengenai kaedah atau format penulisan ilmiah, hanya disebabkan oleh satu tanda baca, maka terjadilah perselisihan pendapat dalam kalangan para ilmuwan yang berada dalam sesi perbincangan itu.

Apa isunya?

Isunya ialah, antara dua contoh ayat berikut, mana satu yang menunjukkan posisi tanda noktah atau titik yang betul?

▪️ “Muhaimin sangat kacak.”
▪️ “Muhaimin sangat kacak”.

Para ahli akademik dan sekalian ahli bahasa pun salinglah berbalas hujah tentang mana satu kaedah yang paling tepat.

Jika noktah atau tanda baca yang lain mesti kena berada sebelum penutup kata, bagaimana pula dengan ayat seumpama ini:

▪️ Hal ini yang disebut oleh cendekiawan sebagai “zaman keemasan” atau “zaman kegemilangan.”

Tidakkah kelihatan pelik jika tanda baca di akhir ayat diletakkan di kedudukan sedemikian rupa, walhal yang kita mahu tekankan ialah frasa dalam pembuka dan penutup kata itu, bukan tanda bacanya?

Sebelah pihak lagi pula berpandangan, noktah atau tanda baca yang lain wajib dan mesti berada di penghujung ayat, hatta selepas penutup kata sekalipun.

Baik, jika begitu, bagaimana pula dengan contoh ayat berikut:

▪️ Tidak berpuas hati, Ali menengking sahabatnya, “aku dah pernah sebut dulu, tapi kau tak nak terima”!

Aih, tidakkah nampak janggal ayat tersebut dan kelihatan amat tidak kena? Yang kita mahu tekankan ialah ayat tengkingan itu, namun mengapa tanda seru yang mengisyaratkan dialog nada tinggi itu berada di luar penutup kata?

Maka, disebutkan oleh Guru mulia Dr. Wan Adli, perselisihan sebegini bahkan boleh memakan masa sehingga berjam-jam lamanya!

Walau bagaimanapun, bagusnya mereka ini ialah, mereka hanya berbahas berkenaan permasalahan tersebut dalam sesi perbincangan itu sahaja. Selesai sesi perbincangan, maka selesailah segalanya.

Tiada isu sembang-sembang belakang atau disambung pula sesi perdebatan dalam mana-mana media massa asbab ketidakpuasan hati yang masih belum berakhir.

Perselisihan antara Ilmuwan adalah Biasa

Begitulah teman-teman,

Perselisihan, perdebatan, dan perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan atau ahli akademik itu sebenarnya merupakan perkara biasa sahaja dalam arena keilmuan, selagi ruang lingkup perbincangan mereka itu adalah dalam bidang kepakaran yang diceburi oleh mereka.

Tidak hairanlah mengapa dalam Islam sendiri, boleh lahir pelbagai aliran atau mazhab fiqah kerana masing-masing daripada para Imam mazhab ada metodologi tersendiri dalam mengeluarkan ijtihad dan hukum-hakam.

Namun begitu, yang menjadi masalahnya ialah apabila perselisihan atau perbezaan pendapat yang membawa kepada perdebatan ini dibawa keluar pula ke dalam arus masyarakat awam.

Hinggakan, implikasi negatif yang lahir akibat daripada perdebatan terbuka ini membawa kepada kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat marhaen, memecahkan kesatuan, melahirkan sifat mazmumah dalam diri pendebat, serta pelbagai lagi kesan buruk yang lain.

Biarlah Perdebatan Berlegar dalam Kalangan Ilmuwan Sahaja

Betapa perselisihan pendapat atau perdebatan yang tidak dikawal dan salah pelaksanaannya pasti akan menuju ke arah natijah yang tidak baik dan merosakkan nilai keilmuan.

Oleh kerana itulah, Imām al-Ghazālī raḥimahuLlāh telah membahaskan persoalan khilaf ini dalam bab keempat Kitāb al-‘Ilm daripada Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn, magnum opus beliau yang―SubḥānaLlāh, sangat bernilai mutunya.

Kitāb al-‘Ilm ini juga telah dihuraikan secara sangat bermakna oleh Guru mulia Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah ḥafiẓahuLlāh melalui karyanya ‘Khulasah Faham Ilmu’ terbitan Pertubuhan Pendidikan Futuwwah.

Dalam sekalian lapan syarat yang dikemukakan oleh Imām al-Ghazālī sebagai panduan bagi mereka yang terlibat dalam perdebatan ilmiah, salah satu yang disebut oleh beliau ialah hendaklah debat dilakukan secara tertutup.

Selaras dengan sifat debat yang ikhlas dan bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengelakkan fitnah, betapa pentingnya perbahasan perlu dijalankan dalam suasana tertutup adalah supaya mereka yang terlibat akan sentiasa bersikap tenang, bersifat lebih peka, dan jauh daripada sifat riyak.

Namun begitu, malang menimpa kita pada masa ini apabila wujud dalam kalangan ilmuwan atau ahli akademik yang gemar sekali membahaskan cabang-cabang keilmuan di khalayak awam, termasuk dalam media sosial sehingga menyebabkan berlaku kekacauan dan kucar-kacir.

Kononnya mahu dilihat sebagai dialah orang yang paling berilmu dan paling mengetahui kebenaran, maka diborakkan segala hujah dan obrolnya di ruang yang sangat terbuka.

Bukankah terlebih baik seandainya si penyembang kencang itu bertentang mata sendiri dengan pihak yang tidak dipersetujuinya untuk berbincang dan berbahas berkenaan topik sekian dan sekian secara tertutup?

Bukankah tindakan tersebut lebih harmoni dan lebih menenangkan keadaan serta mendekatkan diri ke arah kebenaran? Apa yang dicari sebenarnya; kebenaran atau kemasyhuran?

Sayang, benarlah sepertimana yang diungkapkan oleh Imām al-Ghazālī, perselisihan atau perdebatan secara terbuka tidak lain hanyalah akan membenihkan berbagai-bagai akhlak buruk sahaja seperti sifat takbur, hasad, mengangkat-angkat diri sendiri, sangat cenderung untuk membangkang, dan gila akan perhatian umum.

Jujurlah dalam Mencari Kebenaran

Teman-teman yang mulia,

Sedarlah, ilmu kita ini setakat mana sahaja peringkatnya. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Maka, usahlah bersikap ghairah tidak tentu hala dengan hanya mahu berdebat dan mencari salah orang sahaja.

Andai kita menemukan ilmuwan yang bersikap sebegitu pun, usahlah kita pergi menambah perisa lagi dengan melibatkan diri dalam pertelingkahan tersebut. Samalah juga situasinya andai kita menghadapi isu dengan teman-teman di sekeliling kita.

Percayalah, tak akan ke mana-mana pun nanti pengakhirannya. Bazir tenaga sahaja untuk hanya berleter, menari-narikan jari, atau memusingkan akal untuk memenangkan jawapan masing-masing. Sudahnya, saham dosa pula yang meningkat, hmm.

Sekiranya kita benar-benar ikhlas dan jujur dalam mencari kebenaran, maka segeralah lakukan pertemuan dua pasang mata sesama pihak yang kita perselisihi itu.

Jawapan akan terus diperolehi secara jelas, malah kesimpulan akhir pun akan lebih tuntas. Bukankah hal itu lebih membahagiakan?

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!


Muhaimin Safaruddin,
Semoga Allah panjangkan umur kita untuk bisa ketemu lagi sama Ramadan dengan saling berdamai dan bermaafan, amin. 🤲