
Apa? Muhaimin pun sibuk nak ulas tentang TikTok jugakah?
Tak, saya bukan nak menambah lagi perencah, cuma nak bawa kita untuk menilai dan lebih sepatutnya berikan fokus terhadap satu lagi platform muat naik video yang lebih popular.
Bahkan, rekod telah menunjukkan bahawa pelantar ini telah menghimpunkan sebanyak dua bilion orang pengguna aktif setiap bulan di seantero dunia! [Rujuk sini]
Ya, apa lagi kalau bukan YouTube.

Potensi dan prospek YouTube sebenarnya sangat besar lagi luas pada masa akan datang, namun orang kita (baca: rakyat Malaysia) masih ramai lagi yang kurang mendapat pendedahan terhadap perkara ini.
Lihat sajalah, generasi sekarang sudah jarang sekali untuk duduk menonton di hadapan televisyen, apatah lagi hendak melanggan siaran berbayar seperti Astro dan Unifi TV.
Perlu diingat, siaran berbayar tersebut pun bukan semua saluran kita akan tonton setiap masa—hanya saluran-saluran tertentu sahaja yang kena dengan selera bakal kita layan.
Berbaloikah bayar tiap-tiap bulan untuk sesuatu yang bukan setiap masa kita gunakan?
Disebabkan sekarang ialah zaman Internet dan gajet digunakan dengan begitu meluas, maka anak-anak muda kita pun mulalah beralih arah kepada saluran YouTube.
Dahlah percuma, nak beli televisyen jenis apa pun dah tak perlu pening kepala, ditambah pula dengan variasi video yang pelbagai kategori. Fuh!
Katakanlah, satu hari atau satu masa, tiba-tiba terdetik dalam kepala untuk kita menonton video sekian sekian.
Apa perlu kita buat? Cuma hidupkan komputer atau peranti, buka laman web atau aplikasi YouTube, dan mulakan pencarian. Mudah, bukan?
Tambahan pula, dengan lahirnya pelbagai YouTubers bak cendawan tumbuh selepas hujan, memang bertambah rancaklah arena YouTube tersebut.
Cuba tanya adik-adik atau anak-anak kecil kita, siapa pengguna YouTube yang menjadi kegemaran mereka?
Percayalah cakap saya, mereka dengan semudah memetik jari akan terus dapat menamakan bermacam-macam nama yang mungkin kita pun tak pernah dengar siapa nama-nama yang disebutkan oleh mereka itu!
Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana sudah ramai YouTube Creators tempatan kita yang menghasilkan kandungan video yang bermanfaat sudah semakin berpusu-pusu dan aktif dalam YouTube di celahan saluran YouTube antarabangsa yang ada.
Saya sebutkan di sini beberapa nama: Ajar, Cocombee, Tarbiah Sentap, APHD Channel, ML Studios, Berani Buat, dan baaaaanyak lagi (boleh tambah dalam ruangan komen).
Bahkan, figura awam negara seperti Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ebit Lew, dan Aiman Azlan juga mantap sekali dalam menghidupkan saluran YouTube masing-masing.
Namun begitu, suatu persoalan yang setiap daripada kita perlu jawab dengan jujur; adakah cukup sekadar kita berpuas hati dengan usaha bagi mengangkat mesej Islam melalui media baharu ini hanya dengan mengharapkan mereka sahaja?
Adakah saluran-saluran dan video-video kita sudah cukup gah bagi melawan atau menyaingi segala macam bentuk kandungan video lain di luar sana, sama ada yang memberikan gambaran salah terhadap Islam ataupun video yang menayangkan kandungan sia-sia?
Hal ini yang setiap daripada kita yang mengaku sebagai seorang penggerak dakwah Islamiah perlu sama-sama fikirkan.
Maka, zaman media baharu ini sepatutnya mendesak kita untuk sama-sama bertindak secara lebih serius bagaimana mahu menguasai platform sebegini.
Kelas-kelas atau bengkel-bengkel yang menceritakan dari A hingga Z tentang bagaimana mahu menjadi seorang YouTuber sejati (lol), bagaimana mahu menilai dapatan data atau statistik daripada saluran kita, bagaimana mahu menyasarkan video kita agar sampai kepada golongan yang sepatutnya, dan selebihnyaaaaa patut sama-sama kita gerakkan.
Tahu tak teman-teman bahawa YouTube Creators boleh buat duit dengan hanya muat naik video? Ha, sungguh ni.
Kita selalu bicarakan bahawa “sesiapa yang menguasai media, maka dia telah menguasai dunia.”
Namun begitu, setakat mana ikhtiar kita?
Jom anak muda, sebagaimana kita sangat memandang penting majlis dakwah dan tarbiah dalam satu-satu organisasi sebagai usaha menyampaikan dakwah, maka majlis media baharu atau apa-apa saja nama seumpamanya pada era media baharu ini juga patut dilihat dan diberikan penekanan sebegitu rupa!
―
Muhaimin Safaruddin,
Jemput langgan saluran YouTube saya, percuma sahaja, ehek.
Terima kasih banyak!
[Nota: Bacaan lanjut tentang keburukan TikTok dari sudut reka bentuk dan teknologi boleh dibaca di sini]