Bimbang Itu Biasa, Tetapi Allah Itu Ada!

Wabak virus korona (COVID-19) nyata telah benar-benar menempa sejarah baharu dunia. Tentera Allah yang tidak terlihat oleh mata kasar ini sungguh telah menyebabkan implikasi yang sangat besar terhadap berbagai-bagai sektor, baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan, mahupun politik global.

Hinggakan, Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengungkapkan bahawa kehidupan kita selepas ini bakal kita jalani dengan suatu fenomena yang disebut sebagai “the new normal” (kebiasaan baharu).

Sebagai seorang manusia biasa yang pastinya menakung tangki perasaan yang pelbagai, tipulah kalau kita langsung tidak berasa apa-apa kebimbangan mahupun kegelisahan mengenai apa dan bagaimana agaknya kita bakal mengharungi kehidupan pascawabak COVID-19.

Apa persiapan dan persediaan diri yang sepatutnya kita perlu lakukan dalam menghadapi suasana yang tidak menentu selepas ini?

Persoalan yang terbuku ini akhirnya telah saya luahkan kepada al-Fāḍil Ustaz Syed Muhammad Muhiyuddin Al-Attas​ ketika sesi soal jawab semasa siaran langsung “ILM 2.0 – Keintelektualan Mahasiswa: Suatu Pemaknaan” anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)​ dimainkan dalam halaman Facebook rasmi GAMIS sendiri pada petang tadi.

Walaupun persoalan tadi hanya ditimbulkan dengan penekanan utama diberikan terhadap persediaan kami selaku anak muda atau mahasiswa sahaja, namun Subhanallah, jawapan yang diberikan oleh al-Fāḍil Ustaz tadi benar-benar mengesankan untuk semua peringkat usia.

Guru mulia Ustaz menyebut, bahawasanya pandangan para pemikir yang sebahagian daripadanya akan terjelma melalui teks atau ucapan para pemimpin tidak akan sama sekali dapat mengatasi kata-kata Rabb al-Jalīl, kerana ilmu Allah SWT itu sesungguhnya amat meliputi segala sesuatu.

Bukankah Allah SWT telah berfirman melalui kalam-Nya sebagaimana berikut:

وَلَقَدۡ ڪَتَبۡنَا فِى ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعۡدِ ٱلذِّكۡرِ أَنَّ ٱلۡأَرۡضَ يَرِثُهَا عِبَادِىَ ٱلصَّـٰلِحُونَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: bahawasanya Bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.”

[Sūrah al-Anbiyā’, 21: 105]

Allahuakbar, Allah SWT sendiri telah menyatakan bahawa Dia pasti akan mewariskan Bumi ini buat hamba-hamba-Nya yang soleh. Tidakkah kita berasa yakin dengan janji Allah SWT ini?

Lalu, tidak kiralah apa jua perubahan yang bakal melanda dunia selepas ini sekalipun, kita hanya cukup dengan memainkan peranan kita yang sewajarnya sahaja, yakni sebagai hamba dan khalifah-Nya dengan benar-benar bersungguh sesuai dengan tujuan penciptaan kita.

Selebihnya, yakinlah bahawa Allah SWT pasti akan membantu dalam mempersiapkan diri kita untuk mentadbir Bumi dan alam ini sebaiknya.

Bumi ini milik Allah SWT. Allah SWT sudah sedia mengetahui bagaimana perjalanan alam dan segala tatanannya selepas ini.

Kita buat sahaja kerja kita. Dengan izin Allah SWT, Dia akan bereskan selainnya.

Apa potensi yang boleh kita bangunkan dan usahakan?

Antaranya seperti yang disebut oleh al-Fāḍil Ustaz tadi adalah dengan mengembangkan dan mengembalikan peranan ilmu itu di tempat yang sepatutnya, kerana dengan ilmu sahajalah yang bisa memberikan khabar kepada kita akan letak duduk segala sesuatu.

Hayati sedalam-dalamnya apakah makna sebenar ilmu, apa hakikat sebenar keinsanan, di manakah kita bisa memperolehi hakikat kebahagiaan, dan pelbagai lagi yang boleh kita gali.

Sesungguhnya, dengan kita membiasakan diri dalam suasana keilmuan, keadaan sebeginilah yang sebenarnya sangat membantu kita untuk dapat mengadaptasi terhadap apa-apa jua bentuk perubahan.

Biarlah dengan ilmu yang kita miliki ini bisa melahirkan tindakan yang tepat dalam mendepani cabaran yang mendatang sesuai dengan kehendak dan perintah-Nya.

Maka, ajaiblah urusan orang-orang yang beriman!

Pada saat dunia mungkin sudah hilang segala-galanya, orang-orang beriman itu masih punya azimat yang sangat perkasa.

Itulah dia sifat PERCAYA!


Muhaimin Safaruddin​,
Terus yakin dan percaya. 🌻


[Nota: Video penuh atur cara “Keintelektualan Mahasiswa: Suatu Pemaknaan” boleh ditonton di sini]

#KitaJagaKita #DudukRumah #StayAtHome