From Cancer Survivors to Nation Warriors

Bak kata orang, sekeping gambar boleh membawa seribu makna.

Sepertimana gambar yang dikepilkan ini, pelbagai makna tersurat dan tersirat yang boleh kita ambil pelajaran daripadanya.

Foto ini dirakamkan saat Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri (DS) Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar​, Menteri Besar Terengganu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri (PM), YAB Tan Sri (TS) Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 1 April 2020 yang lalu bagi mendapatkan beberapa buah fikir YAB PM.

Antara yang dibincangkan adalah mengenai keadaan pembangunan serta kedudukan ekonomi negeri dan rakyat Terengganu agar usaha untuk mengharungi ujian wabak virus korona (COVID-19) ini memberikan natijah yang baik pada akhirnya.

Gambar ini jelas menunjukkan bahawa pentingnya hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri menerusi konsep federalisme terjalin erat, terutamanya dalam suasana negara masa ini yang sedang menghadapi kemelut tiga serangkai sekaligus; krisis kesihatan, krisis ekonomi, dan krisis politik.

Tentunya melihat foto yang memancarkan aura positif sebegini sangat memberikan ketenteraman dan kebahagiaan kepada kita selaku rakyat marhaen dan murba yang sentiasa memerhatikan tindak-tanduk para pentadbir negara.

Namun begitu, apa yang membuatkan gambar ini menjadi begitu ikonik dan lebih menginspirasikan saya ialah, tidak ramai yang mengetahui bahawa kedua-dua orang tokoh negarawan ini sebenarnya merupakan pemandiri barah (cancer survivors).

Ya sahabat-sahabat, DS Dr. Samsuri sebelum ini diuji oleh Allah dengan kanser tiroid, manakala TS Muhyiddin pula dicoba dengan kanser pankreas.

Sebab itulah kalau sahabat-sahabat perasan, boleh dilihat perbezaan yang agak ketara jika dibuat perbandingan antara gambar mereka berdua yang terdahulu dengan yang terkini, terutamanya dari sudut fizikal mereka.

Walau bagaimanapun, dugaan tersebut ternyata tidak pernah membuatkan mereka berdua lelah untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik buat rakyat di bawah lembayung pemerintahan masing-masing.

Di samping mereka berjuang untuk negara dan negeri, nyata, mereka juga sedang berjuang terhadap apa yang tersembunyi dalam diri mereka sendiri.

Mereka, sesungguhnya, memang benar-benar seorang pejuang!


Begitulah sahabat.

Masing-masing daripada kita sebenarnya ada cerita perjuangan tersendiri. Tentunya, pertarungan kita yang paling hebat ialah perlawanan dengan diri sendiri.

Ada orang berjuang untuk melawan kemalasan yang menjalari dirinya.
Ada orang berjuang untuk bangkit daripada kesakitan zahir atau batin yang menyeksa tubuhnya.
Ada orang berjuang untuk menebus kembali dosa-dosa silamnya.

Orang-orang hebat itu, bukan kesemuanya dilahirkan dalam keadaan terus menjadi sedia hebat.

Kadangkala, banyak sekali cerita jerih payah dan pahit maung yang pernah menghiasi latar belakang dan kanvas perjalanan hidupnya sebelum dia muncul di khalayak sebagai seorang yang dikagumi akan kehebatannya.

Uniknya kisah kita yang bernama manusia, bukan?

Dunia ini tidak semuanya hitam dan putih sahaja. Bahkan, kebanyakannya adalah kelabu dan samar-samar di antara dua persimpangan.

Silap kebanyakan daripada kita ialah, kita amat gemar sekali untuk memandang seseorang atau sesuatu itu hanya dari sisi zahirnya sahaja.

Apabila mereka dilihat menonjol dalam arus media, maka mereka itulah yang dianggap sebagai yang paling kuat bekerja.

Walhal, kita mungkin sekali lupa bahawa bagaimana mereka boleh terpampang keluar di arena massa juga adalah disebabkan oleh jasa orang-orang yang giat berhempas-pulas di balik tabir dan belakang lensa kamera.

Ya, setiap daripada kita ialah wira mengikut versi tersendiri. Tidak perlu berasa tersakiti.


Sahabat-sahabat, ayuhlah sama-sama kita lakukan anjakan paradigma. Galilah setiap apa yang mendatang dari penilaian yang positif terlebih dahulu.

Insya-Allah, sudut pandang kita semestinya bisa berubah andai kita cuba untuk memahami dengan lebih mendalam apa sebenarnya yang mendasari latar belakang seseorang atau sesuatu perkara itu.

Namun begitu, setelah segala penelitian itu dibuat, pada akhirnya, kita tetap jua perlu berpegang kepada prinsip bahawa yang hak itu adalah tetap hak dan yang batil itu adalah tetap batil jua.

Bagaimana neraca pertimbangan itu dilaksanakan? Tentulah dengan meniti jalan wahyu al-Qur’ān dan al-Sunnah berpandukan suluhan ilmu oleh para ulama yang diakui kewibawaan mereka.

Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju?

Salam perjuangan untuk kesemua pejuang kita yang sedang berjuang untuk kebaikan negara kita yang dicintai, sama ada perjuangan untuk masyarakat di sekeliling mahupun perjuangan untuk pengislahan diri sendiri!


Muhaimin Safaruddin,
Suka baca dan dengar yang baik-baik. 🌹