
[Penulisan ini ditintakan bersempena dengan Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya (PRKUM) 2020.]
Hari ini, begitu ramai sekali dalam kalangan kita, termasuk dalam konteks perbincangan kita kali ini – kalangan anak muda dan mahasiswa yang seakan-akan sudah hilang punca dan tidak ketahuan arah tuju.
Ada beberapa episod yang berlegar-legar seputar gerakan anak muda dan mahasiswa yang dilihat tidak menggambarkan bahawa mereka mempunyai cita-cita, matlamat tertinggi, atau ‘sistem pengendalian’ (operating system) yang benar-benar jelas. Bahkan, kebanyakannya pula hanyalah sekadar responsif terhadap isu atau permasalahan yang timbul.
Apa sebenarnya inti dan pendirian yang mahu disampaikan oleh mereka? Apa sebenarnya penyelesaian hakiki yang mahu ditawarkan? Adakah itu hanya sekadar tampalan kosmetik yang ditepekkan semata-mata bagi menggambarkan seolah-olah mereka berjaya menutupi jerawat dan kedutan kerosakan yang timbul, walhal sebaliknya hanya berselindung di sebalik tirai kepura-puraan?
Lebih malang lagi, mereka tidak mempunyai kompas kehidupan yang sungguh-sungguh jitu dalam memandu segala atur cara dan gerak langkah mereka, lantas ditunggangi pula oleh pengaruh dan anasir luar yang berkepentingan. Alangkah sadis seandainya, hal yang salah tersebut menjadi ‘akidah perjuangan’ pula yang didukung oleh mereka sehingga nyawa dicabut dari jasad!
Apa yang hendak kita jawab di hadapan Tuhan ketika Hari Pengadilan nanti?
Sahabat sekalian,
Islam sedari penurunan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, rasul akhir zaman melalui perantaraan Malaikat Jibril AS lagi hakikatnya, sudah begitu lama berbicara perihal konsep keimanan, pandangan sarwa, dan panduan kehidupan, sama ada perhubungan terhadap Allah mahupun sesama manusia, makhluk, dan alam sekitar.
Demikian juga, Islam yang kita imani sebetulnya hendaklah benar-benar meresapi jiwa kita untuk dijadikan sebagai suatu penetapan minda (mind set), seterusnya memungkinkan kita menterjemahkannya sebagai suatu aturan yang mencakupi segenap sudut kehidupan (pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, politik – apa-apa saja yang kita fikirkan!), bukan hanya tersekat dalam aspek keagamaan semata-mata seperti yang selalu disalahfahami oleh mereka yang belum mengerti.
Saya lantas teringat akan empat akar asas yang begitu kukuh menunjangi dasar pohon akidah dan seharusnya dipasak utuh dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim, iaitu Islam, iman, ihsan, dan tanda-tanda kiamat. Terdapat sebuah hadis yang begitu panjang lebar sekali memerihalkan setiap cabang tersebut:
عَنْ عُمَرَ أَيْضًا قَالَ: ”بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ. فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخْذَيْهِ، وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا. قَالَ: صَدَقْتَ. فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ! قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ. قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْت. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ. قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْنَا مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟ قَلَتْ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ“.
[رواه مسلم]
“Daripada Saidina ‘Umar RA juga, beliau berkata: Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam rambutnya, tiada kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tiada seorang pun antara kami yang mengenalinya. Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut baginda serta meletakkan kedua-dua telapak tangannya di atas kedua-dua paha baginda.
Lalu dia berkata, ‘wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.’ Sabda Rasulullah SAW, ‘Islam ialah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad ialah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan, dan menunaikan haji jika mampu.’ Kemudian dia berkata, ‘anda berkata benar.’ Kami berasa hairan; dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan!
Kemudian, dia bertanya lagi, ‘ceritakan kepadaku tentang iman.’ Lalu baginda bersabda, ‘engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan engkau beriman kepada takdir yang baik atau yang buruk.’ Kemudian dia berkata, ‘anda berkata benar.’
Kemudian, dia berkata lagi, ‘beritahukan kepadaku tentang ihsan.’ Lalu baginda bersabda, ‘Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka Dia melihat engkau.’
Kemudian, dia berkata, ‘beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila akan berlaku).’ Beliau bersabda, ‘tiadalah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya.’ Dia berkata, ‘ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.’ Baginda bersabda, ‘jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat penggembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya.’
Kemudian, orang itu berlalu dan aku (‘Umar RA) membisu beberapa ketika. Kemudian, baginda bertanya, ‘wahai ‘Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?’ Aku berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Baginda bersabda, ‘dialah Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajari kalian agama kalian.’”
[Hadis Riwayat Muslim]
Qāḍī ‘Iyāḍ (wafat 544 H) berkata ketika menghuraikan hadis di atas, “hadis ini mencakupi penjelasan kesemua amal ibadah yang zahir mahupun batin, antaranya ikatan iman, perbuatan anggota badan, keikhlasan, dan menjaga diri daripada perosak-perosak amal. Bahkan, ilmu-ilmu syariat, semuanya kembali kepada hadis ini dan merupakan pecahannya.”
Manakala, Ibnu Daqīq al-‘Īd (wafat 702 H) pula dilaporkan menyebut, “hadis ini seakan-akan menjadi induk bagi al-Sunnah, sebagaimana al-Fatihah dinamakan Umm al-Qur’ān (induk al-Quran), kerana al-Fatihah mencakupi keseluruhan nilai yang ada dalam al-Quran.”[1]
Hadis di atas di samping menunjuki kita akan peri pentingnya majlis ilmu serta bagaimana adab yang perlu ditonjolkan ketika menghadiri majlis mulia tersebut seperti berpakaian bersih, berpenampilan kemas, dan bersikap sopan di hadapan guru, hadis itu tadi juga tidak lekang daripada membicarakan keempat-empat rukun agama seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. Tidak hairanlah jika sekalian ulama menobatkan hadis ini sebagai pohon agama atau induk sunah (Umm al-Sunnah).
Islam, Iman, dan Ihsan
Kita akan menyusuri secara ringkas ketiga-tiga istilah yang mungkin sudah begitu sebati dalam diri masing-masing daripada kita. Tidak salah bukan untuk kita mengulang kaji kembali?
Islam secara terminologi seperti yang disusun oleh para ulama ialah “menyerah diri, tunduk, dan patuh melaksanakan segala perintah Allah SWT dan membenarkan semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.”
Lima perintah Allah yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh seseorang yang bergelar Muslim disebut sebagai rukun Islam sepertimana yang terkandung dalam hadis. Oleh sebab itu, Islam yang bersifat amalan atau tindakan ini boleh disinonimkan dengan ibadat dan syariat.
Seterusnya, maksud iman menurut istilah ialah “mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati, dan mengamalkannya dengan anggota badan.”
Dalam erti kata yang lain, seseorang yang mengaku dengan lidahnya mengenai keesaan dan kekuasaan Allah mestilah membenarkannya dengan hati serta membuktikannya melalui pelaksanaan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Terdapat enam asas kepercayaan yang dikenali sebagai rukun iman terkandung jua dalam hadis di atas. Oleh kerana itu, iman yang bersifat kepercayaan ini boleh juga disamaertikan dengan tauhid dan akidah.
Bagaimana pula dengan ihsan? Ihsan ialah “ikhlas dan mengerjakan sesuatu dengan penuh kesungguhan dan ketekunan.”
Maksudnya, ikhlas beribadah kepada Allah semata-mata dengan menyempurnakan pelaksanaannya, seolah-olah kita melihat Allah saat beribadah. Jika tidak mampu, ingatlah bahawa Allah melihat dan menyaksikan setiap perkara yang ada pada diri kita sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis yang panjang tadi. Demikian juga, ihsan berada dalam satu kerangka yang sama sepertimana akhlak dan tasawuf.
Suka untuk saya ingatkan di sini bahawa, ibadah yang dimaksudkan dalam Islam bukanlah semata-mata amalan yang bersifat spiritual, bahkan hakikatnya, seluruh penghidupan dan perjalanan kita di atas dunia inilah sebagai penzahiran pengabdian kita kepada-Nya. Bukankah Allah SWT telah berfirman:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ * مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٍ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ * إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberikan makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja yang Maha Memberikan Rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah sahaja) yang Maha Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.”
[Sūrah al-Dhāriyāt, 51: 56–58]
Ilmu Akhir Zaman?
Perasan atau tidak, kita mungkin sudah terbiasa dengan perbahasan berkenaan ketiga-tiga ciri ini (Islam, iman, dan ihsan). Namun begitu, kita seolah-olah terlepas pandang dengan suatu petunjuk Nabawi yang sebenarnya sungguh-sungguh penting untuk diambil perhatian sebagaimana yang dinyatakan oleh junjungan mulia kita SAW dalam ‘Hadis Jibril’ tersebut; tanda-tanda kiamat atau konsep akhir zaman.
Jikalau tidak, masakan boleh berlaku soal jawab antara Malaikat Jibril dengan Rasulullah SAW berkenaan konsep tersebut? Apa sebenarnya signifikan membincangkan tanda-tanda kiamat dengan perjalanan kehidupan kita? Ya, perkara inilah yang telah dirumuskan oleh para ulama kita dengan istilah yang disebut sebagai ‘ilmu fitan’.
Dari sudut terminologi, ilmu fitan ditakrifkan sebagai “perbincangan mengenai tanda-tanda hari kiamat dan perkaitannya dengan realiti semasa yang dapat memantapkan akidah.”
Nama lain yang sering digunakan oleh para ilmuwan bagi membahaskan ilmu fitan termasuklah ilmu malāḥim (peperangan), fiqh al-taḥawwulāt (fiqah transformasi), ‘alāmāt al-qiyamah, dan ashrāṭ al-sā‘ah (tanda-tanda kiamat).[2]
Sungguhpun ilmu fitan ini hanyalah berstatus fardu kifayah, yakni ilmu yang bersifat wajib ke atas sebahagian anggota masyarakat sahaja, namun terdapat sedikit kerugian di situ seandainya kita selaku golongan mahasiswa yang terpelajar tidak mengambil peluang ini bagi mempelajari dan menguasainya sebaik mungkin, terutamanya dalam menghadapi kerencaman pemikiran songsang dan pelbagai peristiwa baharu yang melata lagi beranak-pinak pada akhir zaman ini.
Namun demikian, menurut Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam, seorang ulama tersohor yang berasal dari Kalimantan, ilmu berkenaan akhir zaman ini sebenarnya tergolong sekali dalam kategori ilmu fardu ain berdalilkan hadis Jibril AS itu juga.
Dalil yang disebut oleh Abuya Shaykh Fahmi ialah, satu-satu ilmu itu wajib dipelajari apabila kita hendak melaluinya atau ada keterkaitan dengan diri kita. Contohnya adalah dalam bab taharah. Setiap daripada kita wajib untuk mempelajarinya sepanjang masa kerana kita mendirikan solat fardu lima waktu setiap hari.
Adapun dalam bab zakat, tidak semua orang wajib mempelajarinya seperti golongan asnaf kerana mereka tidak perlu membayar zakat. Kalau dalam bab haji, orang yang tidak berkemampuan untuk menunaikan haji tidak wajib untuk belajar. Begitu juga dalam bab munakahat; orang yang tidak berkahwin tidak diwajibkan belajar.
Namun begitu, bagi orang yang berkeinginan untuk bernikah, maka wajib ke atasnya untuk menuntut ilmu yang berkaitan dengan hal ehwal pernikahan, termasuklah dalam soal-soal seperti bab haid, bab nifas, bab istihadah, dan lain-lain bab yang berkaitan sekalipun dia bukan seorang perempuan. Bagi golongan wanita, sudah semestinya ilmu seumpama ini adalah wajib untuk diri mereka kerana mereka ialah seorang wanita.
Maka, serupalah dengan situasi kita pada masa ini. Kini, kita memang dan sedang pun berada pada fasa akhir zaman. Oleh hal yang demikian, menjadi kewajipan ke atas kita untuk mendalami ilmu fitan serta segala perkara yang bersangkut-paut dengannya secara benar-benar bersungguh. Disebabkan itulah, Abuya Shaykh Fahmi mengarang dua naskhah kitab khusus tentang peristiwa akhir zaman ini untuk pedoman kita, iaitu ‘40 Hadis Tanda-Tanda Kecil’ dan ‘Tanda-Tanda Besar Kiamat’.
Walau bagaimanapun, awas! Sepertimana asas atau ilmu fardu ain yang lain (akidah, syariah, dan akhlak) perlu dituntut secara manhaj (metodologi) yang benar lagi tersusun daripada sumber (guru) yang sahih dan dengan tujuan (niat) yang murni, maka sebegitu jualah ilmu fitan ini; perlu melalui proses yang serupa. Jika tidak, maka bersiap sedialah untuk mengucapkan selamat datang ke lembah kebinasaan.
Bina Idealisme Mahasiswa Muslim Kita!
قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱللَّهِ وَٱصۡبِرُوٓاْۖ إِنَّ ٱلۡأَرۡضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۖ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ
“Musa berkata kepada kaumnya, ‘mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya Bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya, dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.’”
[Sūrah al-A‘rāf, 7: 128]
Masya-Allah. Hakikatnya, Islam sudah menyediakan manual kehidupan yang begitu lengkap lagi sempurna dalam membantu pembentukan jati diri dan matlamat tertinggi kita, termasuklah dalam melayari bahtera kehidupan kita selaku mahasiswa dan anak muda.
Kita sebenarnya sudah ada idealisme, namun tidak cukup terhenti sekadar idealisme tanpa mahu menjadikannya suatu realiti. Bahkan, hal tersebut perlu dimatangkan dan dijadikan sebagai cita-cita hakiki. Sedaya-upaya, kita gemblengkan dan garapkan berasaskan al-Quran, hadis Rasulullah SAW, dan kitab-kitab turath muktabar karangan para ulama pewaris para anbia yang juga memberikan gambaran akan suasana dan peristiwa akhir zaman.
Jadikan perkara tersebut sebagai sumber kita, bukan sekadar suatu analisis yang hanya kita anggap sebagai menakjubkan untuk kita mengkaji tentang masa depan. Seandainya kita benar-benar mengkaji al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ini dengan sebenar-benar penghayatan berasaskan panduan para murabbi yang memperoleh suluhan wahyu, nescaya kita akan dapat menyaksikan apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang dan bagaimana untuk kita hadapinya berasaskan idealisme akhir zaman kita.
Barulah kita betul-betul boleh menyusun dan merangka strategi; sebenarnya gerakan mahasiswa perlu bergerak atas acuan yang bagaimana, apa mesej yang ingin kita sampaikan kepada teman-teman mahasiswa kita, siapa rakan kongsi yang boleh kita bersama dan siapa pula yang sebaliknya berdasarkan set pemikirannya, serta pelbagai lagi.
Andai kata rakan kongsi atau sekutu kita itu terdiri daripada kalangan pertubuhan, persatuan, atau parti politik tertentu di luar sana yang juga membawa gagasan, pemikiran, dan manhaj Islam yang sebenar serta serupa dengan kita, mengapa tidak untuk kita boleh bersama dengannya yang sama-sama membawa Islam, atau sekurang-kurangnya, membawa manfaat dan mengelakkan mudarat terhadap Islam?
Kita meyakini Allah SWT Maha Melihat dan malaikat ada di sisi untuk mencatat segala amal baik dan buruk kita. Kita meyakini adanya dosa pahala sebagai pertimbangan, syurga sebagai impian dan destinasi akhir, serta neraka sebagai ancaman kita. Kita meyakini bahawa Allahlah tujuan utama kita dan segala tindakan yang kita lakukan serta segala pilihan yang kita tentukan di muka Bumi ini adalah semata-mata sebagai tanda penghambaan kita kepada-Nya.
Untuk itu, senantiasalah ikhlaskan diri dan sucikan peribadi. Upayakan kesemua ini sebagai tonik jiwa dan penawar hati yang paling mujarab pada saat kita berasa lelah dengan segala kebobrokan yang menimpa dan pada saat kita mencari-cari semula apa tujuan sebenar kita hidup di dunia.
وَمَا هَـٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَهۡوٌ وَلَعِبٌۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَ لَهِىَ ٱلۡحَيَوَانُۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini, tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”
[Sūrah al-‘Ankabūt, 29: 64]
Saya teringat kalam Dr. Mohd Zuhdi Marsuki, Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) ketika atur cara ‘Bual Bicara Jubli Mutiara GAMIS’ yang dijalankan pada 4 Oktober 2019 yang lalu di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan GAMIS di Malaysia. Beliau pernah menyebut:
“Ini penting sebab saya lihat ada satu zaman mahasiswa termasuk GAMIS ini, dia berbangga dengan bibliografi ataupun ‘literature’ dari luar. Tengok ini daripada penulis Barat, dia bangga. Bawa, kelek buku tulisan penulis-penulis Barat. Saya baca buku-buku itu, bukan saya tak baca. Saya baca buku-buku yang mereka sebutkan, tetapi kita baca selepas kita ada pegangan. Kita ada al-Quran kita, kita ada hadis kita, kita baca, tak apa, tak ada masalah lepas kita baca. Jangan kita baca sebelum kita ada pegangan.
Nanti bila kita baca satu ‘literature’, contohnya kita baca satu ‘literature’ yang pro-Saudi, kita pun jadi Salafi sekejap. Kuat Salafi kita. Kemudian, kita baca pula literature pro-Iran, jadi Syiah. Jadi, biar kita ada pegangan, kemudian datanglah apa-apa perkara pun, kita ada perkara yang ada istiqamah terhadap pegangan kita.”[3]
Justeru, ayuh mahasiswa sekalian! Kita bina idealisme kita berasaskan Islam yang suci dan tulen. Pastikan idealisme ini membawa kepada transformasi minda dalam mahasiswa, seterusnya menuju ke arah transformasi budaya dalam masyarakat. Kita ialah mahasiswa yang disebut sebagai ‘the agent of change’ (ejen perubahan) bagi masyarakat, maka bawalah perubahan dan pembaharuan dalam pemikiran dan budaya yang benar-benar berpasakkan tiang Islam yang kukuh.
Jikalau tidak, selama-lamanyalah gerakan mahasiswa akan diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak berkepentingan di luar sebagai akibat kehilangan pendirian dan kompas moral!
Nota kaki:
[1] Al-Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, “Syarah Hadits Jibril Tentang Islam, Iman Dan Ihsan,” Almanhaj, diakses pada Februari 15, 2020, https://almanhaj.or.id/12057-syarah-hadits-jibril-tentang-islam-iman-dan-ihsan.html.
[2] Ibn Jawi, “Risalah Timbangan dalam Ilmu Fitan – Prinsip,” dalam Mencabar Teori Konspirasi, Ibn Jawi dan Ayman Rashdan Wong (Ampang: Patriots Publication, 2018), 17.
[3] Wan Harith Iskandar Wan Roslan, “Khas: Transkripsi Bual Bicara Jubli Mutiara GAMIS,” dalam 30 Tahun GAMIS, disunting oleh Ahmad Muhaimin Ahmad Safaruddin (Kajang: GAMIS, 2019), 129.