
Alhamdulillah, sepanjang mengikuti Daurah Musim Panas (DAMSAS) 7.0 pada 1–14 Julai 2019 yang lalu di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, berikut ialah senarai wirid yang telah kami pelajari dan lazimi sepanjang keberadaan kami di sana:
- Al-Wird al-Sakrān (susunan Ḥabīb ‘Alī bin Abū Bakar al-Sakrān), dibaca setiap kali selepas solat fardu lima waktu.
- Al-Wird al-Laṭīf (susunan Imām ‘AbduLlāh bin ‘Alawī al-Ḥaddād), dibaca selepas solat Subuh dan Asar.
- Rātib al-Ḥaddād (susunan Imām ‘AbduLlāh bin ‘Alawī al-Ḥaddād), dibaca selepas solat Maghrib.
Untuk pengetahuan teman-teman, kita sebenarnya mempunyai banyak lagi koleksi zikir dan wirid dalam tradisi Islam selain yang disebutkan di atas.
Sebahagian himpunan zikir lain yang mampu saya sebutkan di sini; Rātib al-‘Aṭṭās susunan Ḥabīb ‘Umar bin ‘Abd al-Raḥmān al-‘Aṭṭās, Ḥizb al-Nawawī sususan Imām Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, Ḥizb al-Baḥr susunan Imām Abū al-Ḥasan al-Shādhilī, dan al-Manzil susunan Maulānā Zakariyyā al-Kāndahlawī.
Namun begitu, kebanyakan daripada kita hanya mengetahui al-Ma’thūrāt susunan Imām Ḥasan al-Bannā sahaja.
Al-Ma’thūrāt yang selalu kita amalkan pun, kebiasaannya hanya berpada setakat al-Waẓīfah al-Ṣughrā sahaja. Alhamdulillah jika kita istiqamah membacanya. Namun, cuba bayangkan andai sebaliknya.
Allah, betapa kita sangat kekontangan makanan rohani buat bekalan tasawuf kita.
Jadi, jom teman-teman, kita basahi lidah dan jiwa kita dengan melazimi zikrullah. Di samping mempelajari tauhid dan fiqah, usah dikesampingkan pembelajaran tasawuf yang menjadi tonggak untuk mencapai taraf al-Iḥsān.
Semoga Allah mengganjari para guru yang telah mendidik kita dengan kebaikan yang tidak terperi, amin.
« لَوْ لا رَبِّيْ ما عَرَفْتُ رَبِّيْ »
“Kalaulah bukan kerana Tuhanku, tiadalah aku mengenali Tuhanku.”