SUKSIS, a Glimpse of Bliss

1. Telah beredar lebih seminggu sejak acara keramat itu berlangsung pada 12 Ogos 2018 yang lalu. Daerah Mu‘allim menjadi saksi akan 1,285 orang mahasiswa selamat ditauliahkan sebagai ‘Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis’ dalam suatu Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam (UA) Malaysia buat kali ke-14 yang penuh istiadat.

2. Saya masih ingat pertama kali saya melibatkan diri sebagai salah seorang pelatih Kor SUKSIS pada September 2015 dengan penuh keazaman dan semangat yang membara. Hasrat hati untuk mengenali diri dan bergelumang dalam dunia kepolisan tertunai dengan izin yang Maha Esa.

3. Namun begitu, tidak semua masa kehidupanku sebagai seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) saya peruntukkan sebaik mungkin dalam suasana Kor SUKSIS ini. Dalam sesetengah hal, acapkali saya berbelah bahagi dalam hendak menyalurkan komitmen saya sama ada terhadap atur cara di fakulti atau kampus mahupun kepada aktiviti SUKSIS yang tersayang ini.

4. Fokus saya yang sering terganggu ini menyebabkan pernah beberapa kali terdetik dalam fikiran untuk keluar baris dari keanggotaan Kor SUKSIS menjelang tahun akhir latihan. Namun begitu, pada saat putus asa itu sudah hampir memuktamadkan iktikadnya, muncul sahabat-sahabat sehidup semati yang setia mengingatkan lagi menguatkan diri ini agar saya sesekali jangan bertindak sebegitu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

5. Alhamdulillah, berkat sedikit kekuatan yang dipinjamkan oleh-Nya, saya teruskan sisa-sisa masa yang ada untuk benar-benar menghayati detik-detik akhir bersama skuad ini. Kini, kemuncaknya telah saya kecapi bersama-sama sahabat seperjuangan di sisi.

6. Seinfiniti penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jurulatih dan sahabat-handai atas segala ilmu dan sekelumit pengalaman yang telah kalian berikan untuk hamba yang serba daif. Banyak sekali yang telah saya pelajari daripada kalian untuk saya lebih memaknai tujuan hidup di atas dunia yang singkat ini.

7. Tentu sekali, kalungan penghormatan yang tidak terperi buat kesemua ahli keluarga saya yang tidak pernah lekang dalam menitipkan doa buat seorang Muhaimin. Hanya Allah SWT sahaja yang selayaknya membalas segala budi kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

8. Sesungguhnya, penyertaan saya ke dalam skuad ini sangat banyak mendidik diri ini akan hakikat dunia kepolisan yang suatu masa dahulu, saya pernah memandang sinis terhadap profesion ini. Betapa sebenarnya, tugas seorang pegawai polis itu sungguh penuh dengan tantangan dalam usaha mengekalkan keamanan dan memelihara kedaulatan negara. “Buat kerja bukan minta dipuji, tapi biar jangan sampai dikeji.” Masih saya ingat kata-kata itu.

9. Terima kasih sekali lagi untuk tiga tahun yang penuh warna-warni ini. Maafkan saya untuk hari-hari yang berlalu. Doakan saya untuk hari-hari yang mendatang. Insya-Allah, semoga Allah sentiasa meredai segala kerja buat kita dalam proses menjadi seorang anak watan yang sentiasa menginginkan yang sempurna buat diri dan masyarakat amnya.

“Bahawa kami,
Sebagai Anggota,
Polis Diraja Malaysia,
Berikrar,
Taat dan setia,
Kepada Raja dan Negara,
Perlembagaan dan undang-undang,
Kod Etika,
Serta pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia,

Dan kami berikrar,
Akan komited untuk berkhidmat,
Melindungi negara,
Dan bekerjasama dengan masyarakat,
Dalam mengekalkan undang-undang,
Dan ketenteraman awam.”

Salam Hari Arafah dan Salam Aidiladha 1439H!


INSP KS 42596
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.