
Petang semalam, sedang saya beristirahat di atas sebuah sofa yang empuk lagi mengancam, dengan tidak semena-mena, mataku tertancap ke arah suatu pemberitahuan daripada aplikasi Astro Awani yang telah saya pasang dalam gajet saya. Tajuk berita itu berbunyi ‘Sultan Mizan undur dari Sukan SEA KL’.
Saya ini bukanlah sejenis yang gemar melayan portal berita (sebab selalunya kebanyakan khabar atau berita yang saya peroleh sama ada fakta atau persepsi semata-mata adalah daripada laman sosial sahaja), tetapi lain pula halnya pada hari tersebut.
Yalah, kalau sebelum ini, saya mendapat info bahawa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan salah seorang daripada tiga orang atlet tetamu kehormat utama (VVIP) selain Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin yang akan berentap dalam acara Ekuestrian pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-29 nanti.
Namun, tiba-tiba, keluar pula berita yang mengatakan bahawa baginda sultan terpaksa menarik diri pada saat akhir demi kebaikan pasukan atas faktor kuda yang bakal ditungganginya itu berada dalam keadaan yang tidak baik.
Itu satu hal. Masalahnya, daripada mula-mula membuka portal berita tersebut hanya sekadar mahu mengikuti perkembangan sukan tanah air, tiba-tiba jari-jemari tangan ini gatal pula mahu membuka berita lain daripada kategori yang berbeza.
Yang paling menyedihkan saya, daripada sekian banyak tajuk berita yang berada dalam kategori sohor kini atau utama itu, banyak pula keluar berita yang bercerita mengenai salah laku atau jenayah seksual yang terjadi dalam negara kesayangan kita ini.
Terdahulu, saya terbaca mengenai kisah dua orang adik-beradik perempuan – masing-masing berumur 19 dan 14 tahun – menjadi hamba seks kepada bapa, datuk, dan dua orang bapa saudara sendiri.
Kemudian, ada pula kisah yang tular dalam media sosial apabila seorang guru praktikal lelaki memuat naik beberapa tangkap layar perbualannya dalam aplikasi WhatsApp bersama salah seorang pelajar perempuannya yang tanpa segan silu mengajak guru tersebut untuk melakukan perbuatan terlarang!
Tidak cukup sekadar itu, terdapat juga laporan yang menyebut mengenai seorang bapa durjana yang meliwat anak perempuan kandungnya sendiri dengan pertuduhan liwat sebanyak 626 buah pertuduhan! Tidak hairanlah ada seorang wartawan itu meluahkan kekesalannya dengan berkata, “inilah kes paling keji pernah aku lapor sepanjang 22 tahun jadi reporter.”
Yalah, lebih 600 pertuduhan kot, teruk tak teruk. Bayangkan, semasa Ramadan sedang berlangsung pun, si bapa ini sanggup juga melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Apakah?
Belum habis setakat di situ, seorang pemandu lelaki Uber pula telah membuat laporan polis berkaitan kejadian yang menimpa dirinya apabila mendakwa telah diraba oleh penumpang lelaki yang duduk di sebelahnya. Selalu kita dengar penumpang jadi mangsa pemandu, kali ini pemandu pula jadi mangsa penumpang. Lelaki sama lelaki pula itu! Weh, apahal sih?
Cukuplah beberapa kerat berita yang saya petik. Tak larat hendak cerita banyak lagi. Belum habis cerita bab politik yang cacamarba sekarang ini. Sampai ke sudah tidak habis ceritanya.
Saya macam, “what kind of this world I’m living in?!” Seriously, I cannot brain. Ahli keluarga yang diharapkan untuk menjadi benteng terakhir keselamatan keluarga pun sudah dikhianati peranannya, apatah lagi orang lain.
Kalian pernah terfikir atau tidak, apa bala yang sedang menimpa masyarakat Malaysia sekarang ini? Ya, kita diuji dengan masalah sosial yang sangat kronik masa ini. Kenapa jadi begini? Angkara siapa?
Cukup-cukuplah tuding jari kepada orang lain. Salahkan diri sendiri dahulu. Akibat penghayatan Rukun Iman yang enam sudah semakin pudar daripada jiwa Muslim yang mengaku Mukmin, maka beginilah jadinya.
Buat sesuatu perkara, tetapi tidak berasakan bahawa Allah sedang melihatnya, Malaikat sedang memerhatikannya, ajaran Kitab dan Rasul tidak diendahkan, Hari Akhirat dilupakan, serta konsep takdir pula diabaikan. Habis, habis segala-galanya.
Semoga Allah sentiasa memelihara dan mengampuni kita. 😭