Persediaan Itu Suatu Tindakan

Dalam kursus “Information Technology Project Management (ITPM)” yang juga merupakan salah satu kursus teras jabatan saya di universiti, antara topik yang diketengahkan dalam pembelajaran kursus tersebut ialah “Project Management Process Groups” yang perlu diambil perhatian oleh para pengamal dan pembangun projek teknologi maklumat (IT) bagi memastikan projek kendalian mereka menemui kejayaan.

Kumpulan proses itu juga mengandungi lima buah elemen utama sebagaimana berikut:

  1. Initiating
  2. Planning
  3. Executing
  4. Monitoring and controlling
  5. Closing

Kesemua proses ini boleh dipetakan ke dalam suatu bidang yang dikenali sebagai “Knowledge Areas” (Lapangan Pengetahuan) yang terdiri pula daripada 10 cabang [rujuk PMBOK® Guide, Fifth Edition, 2012]:

  1. Integration
  2. Scope
  3. Time
  4. Cost
  5. Quality
  6. Human Resource
  7. Communication
  8. Risk
  9. Procurement
  10. Stakeholder

Menariknya, antara kelima-lima kumpulan proses yang disebutkan di atas sebentar tadi, jika dipetakan ke dalam lapangan pengetahuan yang sepuluh itu, hanya ada satu kumpulan proses sahaja yang mesti dan wajib dipraktikkan dalam setiap lapangan pengetahuan tersebut, iaitu ‘planning’ (perancangan / persediaan).

Seseorang pengurus projek (project manager) itu, jika dia memberikan penumpuan yang lebih terhadap proses ‘planning’ walaupun terpaksa memakan masa yang agak lama, sebenarnya dapat lebih menjimatkan masa dan tenaga ketika proses ‘executing’ (pelaksanaan) projek berbanding pengurus yang melakukan proses ‘planning’ dalam masa yang singkat, namun terpaksa membazirkan masa dan tenaga yang lebih banyak ketika proses ‘executing.’

Apa sebenarnya yang hendak saya sampaikan?

Hendak ceritanya di sini, ‘planning’ atau perancangan dan persediaan itu merupakan elemen yang sangat penting dan terpenting dalam bab pengurusan sesuatu projek.

Kalau dalam bidang pengurusan projek pun sangat ditekankan perancangan dan persediaan yang sangat rapi dan teliti agar produk atau output yang ingin dihasilkan itu ialah produk yang berjaya, lalu bagaimana pula dalam proses ingin mendidik atau melahirkan seorang manusia (dalam konteks ini: pelajar / mahasiswa) yang hebat dan berkaliber, kita hanya memandang enteng terhadap proses persediaan diri kerana terlalu tergesa-gesa untuk melakukan tindakan dan praktikaliti?

Teringat ketika saya singgah di Maktabah al-Ihya’, Bangi sempena modul ketiga Madrasah Gen-Q anjuran Neo-Siswa Universiti Malaya (UM) pada Ahad, 26 Mac 2017 yang lalu. Semasa slot “Kuliah Khas Dakwah” yang disampaikan oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis, Pengasas Madrasah Darul Hasani Malaysia, beliau ada menyebut bahawa «al-isti‘dād» (الاستعداد – persediaan) sebelum melakukan sesuatu itu jauh lebih baik berbanding mereka yang melakukan sesuatu tanpa persediaan.

Beliau juga menambah, golongan yang suka mempertikaikan mereka yang melakukan persediaan ini (melengkapi diri dengan ilmu dan kefahaman yang sahih), hakikatnya, golongan tersebut masih tidak bersedia dalam beramal serta bersifat tergesa-gesa dalam berpraktikal.

Sedihnya, penyakit tergesa-gesa ini banyak melanda golongan atau kumpulan dakwah, sama ada di dalam mahupun di luar kampus. Hujah mereka, sampai bila kita asyik dan mahu mempelajari teori, tapi gerak kerja dan amalnya tiada?

Al-Fadil Ustaz menempelak golongan sebegini dengan menyatakan bahawa, bukankah persediaan itu juga merupakan satu perbuatan dan tindakan? Beliau juga membawa pesan para ulama, yakni sesiapa yang tergesa-gesa untuk mendapat sesuatu sebelum tiba masanya, maka dia akan dihukum untuk tidak akan mendapatnya sampai bila-bila. Juga, sesiapa yang menonjol sebelum masanya, maka sebenarnya dia menonjol untuk kebinasaannya.

Sebab itu penting untuk kita bertanya diri sendiri, adakah aku sudah benar-benar melengkapi diri dengan ilmu tentang sumber yang sahih (al-Quran, Hadis, Ijmak, Qiyas), ilmu tentang kefahaman yang sahih terhadap sumber yang sahih, serta ilmu tentang manhaj (metode) yang sahih terhadap sumber yang sahih untuk memperoleh kefahaman yang sahih?

Ketahuilah, krisis paling besar yang melanda masyarakat Muslim zaman ini ialah krisis fikrah (pemikiran). Hal ini disebabkan sama ada fikrah umat Islam kini tidak dibentuk dengan ilmu yang benar ataupun fikrah telah diisi dengan ilmu yang rosak dan tidak mengandungi hikmah sebagai akibat penerimaan ilmu daripada si pemberi ilmu yang korup. Nyata, kerosakan yang dibawa oleh orang berilmu jauh lebih dahsyat berbanding kerosakan yang dibawa oleh orang jahil.

Maka, menjadi tugas yang berat ke atas kita khususnya pelajar Muslim untuk sama-sama melengkapi diri dengan persediaan ilmu yang mencukupi bagi menjernihkan kembali kekusutan yang merebak dalam kalangan masyarakat Muslim kita asbab kehilangan adab (loss of adab). Bukankah proses penciptaan manusia juga merupakan suatu persediaan?

Sembilan bulan di dalam kandungan, kemudian dilahirkan ke alam dunia, pandai meniarap dahulu sebelum merangkak, berdiri, berjalan, berlari, dan seterusnya… Bukankah begitu teratur dan indah sekali proses penciptaan kita?

Ayuh, kembalilah kita ke arah persediaan diri yang rapi dan teliti, kerana persediaan itu juga merupakan suatu tindakan!


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Kluster Penerangan,
Neo-Siswa Universiti Malaya 2016/2017.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.