
Zaman ini, semua orang mahu bercakap soal integriti. Integriti dalam budaya kerja, integriti dalam rumah tangga, integriti dalam kehidupan masyarakat bernegara, dan lain-lain.
Baguslah kalau begitu. Tetapi, sedarkah kita bahawa Islam telah lebih lama menekankan soal integriti sejak pertama kali Islam diwahyukan? Lihat saja dalam Rukun Iman yang enam itu; keimanan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat, serta keimanan kepada Qada’ dan Qadar.
Andai setiap orang Mukmin itu sentiasa berasakan bahawa ada Tuhan yang Maha Melihat senantiasa memerhatikan setiap gerak-geri dan tingkah lakunya;
Andai setiap orang Mukmin itu sentiasa berasa diawasi oleh malaikat yang tetap berada di kanan dan kirinya untuk mencatat segala perbuatan baik dan buruknya;
Andai setiap orang Mukmin itu sentiasa menyedari bahawa ada utusan daripada Tuhan membawa risalah penyempurnaan akhlak untuk sekalian umat manusia melalui penurunan kitab-Nya;
Andai setiap orang Mukmin itu sentiasa mengingati Hari Akhirat yang menjadi medan perhitungan segala amal perbuatannya ketika menjalani kehidupan sementara di alam dunia;
Andai setiap orang Mukmin itu sentiasa meyakini bahawa setiap ketentuan Allah ke atas dirinya adalah baik belaka walaupun pada pandangan mata kasarnya kelihatan sebaliknya…
Nescaya tiadalah kedengaran di corong-corong radio dan televisyen atau kelihatan isi penulisan yang menggambarkan salah laku, pecah amanah, transparensi ketelusan, dan perlanggaran etika yang menggambarkan keruntuhan adab dan moral dalam masyarakat kita asbab tidak mengamati nilai integriti yang dilaungkan oleh massa pada era pascamoden ini.
Justeru, saya ingin menyeru diri saya dan seluruh saudara se-Islam khususnya agar kita sama-sama dapat menghayati Rukun Iman dengan sebenar-benar penghayatan. Moga natijahnya, kita dapat menyaksikan masyarakat kita yang lebih berintegriti, berakauntabiliti, dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam segenap aspek dan ruang dalam kehidupan.
Kerana, “INTEGRITI AMALAN KITA”!
―
Catatan oleh:
KS42596 – AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Nota: Catatan ini dicoretkan sempena sambutan Hari Polis yang ke-210.
