Peranan Tradisi Ilmu Islam dalam Membentuk Peradaban Ummah

Kira-kira jam 8.00 malam, sebelum kehadiran panel pembentang, saudara Muhammad Shahrulanwar bin Mohd Shukri selaku Pengerusi Neo-Siswa Universiti Malaya (UM) sesi 2016/2017 mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan sedikit taklimat berkenaan gagasan Madrasah Gen-Q yang baru ditubuhkan berserta objektif di sebalik penubuhannya kepada para peserta yang berdaftar.

Secara ringkasnya, matlamat akhir Madrasah Gen-Q melalui garapan lapan buah modul sepanjang semester kali ini adalah bagi melahirkan lepasan-lepasan madrasah yang bukan sahaja berkemampuan menjadi seorang “dā‘ī” (pendakwah; yang membawa idea-idea Islam), bahkan jua membentuk karakter diri sebagai seorang “mufakkir” (pemikir; yang menggunakan disiplin dan berdiri atas manhaj tradisi ilmu Islam), dan “negarawan” (pemimpin; yang berjiwa negarawan dan lengkap dengan ilmu kenegaraan) sebagai persediaan melayari bahtera kepemimpinan watan pada masa akan datang.

Modul satu Madrasah Gen-Q dimulakan oleh Dr. Amran bin Muhammad, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO), Islamic & Strategic Studies Institute (ISSI) yang juga mantan Ketua Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains UM dengan memberi kami penerangan sedikit sebanyak berkenaan ISSI, sebuah institut yang ditubuh serta dikelola oleh beliau sendiri dengan satu tujuan yang murni, iaitu bagi menghidupkan semula penghayatan ilmu Kalām (Iḥyā’ ‘Ilm al-Kalām) yang hakiki dalam kalangan massa.

Ilmu Kalām yang dimaksudkan di sini boleh juga dikenali sebagai ilmu ‘Aqīdah, Uṣūl al-Dīn, Tawḥīd, Fiqh al-Akbar, dan lain-lain istilah yang berkaitan.

Pendahuluan analogi yang diuntaikan oleh Dr. Amran berkaitan kisah tiga orang sahabat yang terpasung kedua-dua belah tangan dan kakinya pada pintu gua sangat menjentik kalbu kami untuk sentiasa membuka pintu mata dan hati agar bersedia menerima kebenaran walaupun pahit untuk ditelan.

Di samping itu, kami selaku peserta Madrasah Gen-Q juga diberikan kesedaran bahawa rupa-rupanya, kelemahan umat dan dunia Islam pada era pascamoden ini sebenarnya berpunca daripada sikap masyarakat Islam sendiri yang bertindak menolak dan mengetepikan segala khazanah, tradisi, serta warisan ulama silam yang telah menjadi asas kepada keagungan peradaban umat Islam selama kurang lebih 1,300 tahun yang lampau.

‘Aqīdah Ashā‘irah dan Māturīdiyyah (Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah) yang sekian lama menjadi benteng kepada tamadun agung umat Islam dahulu seperti Khilāfah Banī Umayyah, ‘Abbāsiyyah, dan Turki ‘Uthmāniyyah juga kian dilupakan serta dianggap jumud, menyusahkan, atau terlalu berfalsafah. Walhasil, pegangan akidah umat Islam zaman ini adalah terlalu simplistik sehingga mudah tertarik atau cenderung kepada idea dan pemikiran yang dikhuatiri menyeleweng daripada ajaran Islam yang sah.

Melalui pengukuhan ilmu Tawḥīd sebagai yang terutama, masalah kemuflisan ‘ilmiyyah, kehampaan rūḥāniyyah, dan kegersangan ḥaḍārah umat Islam zaman kini sebenarnya dapat diselesaikan kerana ilmu Tawḥīd terbina daripada asas-asas mantik (logik), faham ilmu (epistemologi), faham wujud (ontologi), dan faham nilai (aksiologi).

Seterusnya, daripada sekalian asas itu, bercambahlah pokok-pokok ilmu Tawḥīd yang terdiri daripada al-Ilāhiyyāt (ke-Tuhanan), al-Nubuwwāt (ke-Nabian), al-Sam‘iyyāt (perkara-perkara ghaib), dan al-Imāmah (kepemimpinan). Pada akhirnya, segala isi pokok tersebut dapat diaplikasikan ke dalam segenap ruang kehidupan seperti sosial, ekonomi, politik, sains, teknologi, alam sekitar, dan banyak lagi.

Kita terlalu sibuk berbincang berkenaan masalah dunia yang tidak berkesudahan serta sibuk bergelumang dalam lautan solusi yang entah di mana penghujungnya, walhal penyelesaiannya sudah lama ada dalam tradisi keilmuan Islam. Oleh hal yang demikian, pendekatan ilmu Kalām dalam menghadapi cabaran semasa berdasarkan dalil naqliyyah (nas-nas al-Quran dan al-Hadith) dan ‘aqliyyah (akal) perlu disampaikan secara lebih kreatif dan canggih.

Alhamdulillah, siri pertama Madrasah Gen-Q diharapnya berjaya membawa kami suatu paradigma (pandangan alam, taṣawwur, worldview, Weltanschauung) yang lebih jelas dan terang dalam memaknai hakikat serta tujuan hidup yang sebenar sebagai seorang Muslim di atas muka Bumi Allah ini.

Insya-Allah, perkongsian bakal bersambung untuk siri kedua. Nantikan!


Catatan oleh:
AHMAD MUHAIMIN BIN AHMAD SAFARUDDIN
Kluster Penerangan,
Neo-Siswa Universiti Malaya 2016/2017.


Nota: Catatan di atas dicoretkan sempena atur cara “Madrasah Gen-Q Siri 1” anjuran Neo-Siswa UM pada 10 Mac 2017.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.