Tangkap Sama Itu Pokémon

“Angah, nanti dah besar Acu (bukan nama sebenar) nak jadi gamer, boleh?”

Saya yang sedang meneguk minuman ketika itu membiarkan sejenak enzim amilase di dalam mulut menjalankan tugasnya sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dikemukakan. Sambil itu, mata ralit menatap skrin televisyen diod pemancar cahaya (LED) bersaiz 42 inci yang memaparkan sebuah siaran permainan.

Bukan, bukan siaran Sukan Olimpik Rio 2016, tetapi siaran pertandingan sekumpulan pemain (gamers) bertarung sesama mereka dalam peringkat separuh akhir permainan video “Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO)” sempena ELEAGUE, sebuah liga sukan elektronik (eSports) khusus untuk para penembak profesional CS:GO yang berpusat di Atlanta, Amerika Syarikat.

Sebaik mendengar hasrat hati si adik, saya tidak pula melatah, apatah lagi meloncat dari kerusi ibarat terlihat lipas kudung. Malah, saya sudah menyedari akan hakikat itu kerana memang rutin harian si adik ialah menghadap sang komputer legenda untuk bermain FIFA Online 3.

Tidak cukup setakat itu, impian untuk menjadi seorang pemain pun ditulis dengan penuh perasaan di atas sehelai kertas di samping beberapa impian yang lain lalu diletakkan di cermin muka bilik. Kalau setiap hari mengandam di situ, memang akan terbacalah gugusan impian tersebut. Ternyata didikan pakar motivasi sangat memberikan kesan kepadanya.

“Emm, boleh ja nak jadi gamer, tapi targetlah yang tinggi sikit. Bukan apa, gamer tu nampak macam kecil sangat skopnya. Cuba cari yang lagi besar, lebih luas. Software engineering contohnya. Bukan setakat boleh main game, bahkan boleh buat game terus!”

Usu (bukan nama sebenar) yang duduk di sebelah entah dengar atau tidak perbualan antara saya dengan Acu. Sibuk menghafal sambil menyanyi lagu Maher Zain katanya. “Medina, Medina, Medinatun-Nabi…” Ya, itu dia, dia sedang bernasyid dengan penuh syahdu.

Saya menyambung lagi, “lagipun, tak kisah sebenarnya Acu nak jadi apa. Jadilah apa-apa pun, yang penting dapat bagi sumbangan untuk Islam. Kalau nak jadi gamer, Acu kena fikirlah gamer boleh bagi apa yang terbaik untuk agama.”

Halamak, ayat saya. Tapi, serius beb. Tak mahulah adik saya hanya semata-mata menjadi seorang pemain yang memenangi pertandingan, kemudian peroleh duit, jadi kaya-raya, hidup senang. Kemudian, selepas itu?

Tiba-tiba, Acu meneruskan perbualan dengan pertanyaan berikutnya, “tadi Acu ada baca satu link kat Facebook, mufti kata main Pokémon Go haram, betul ke?”

Haaa, ini yang saya nak meroyan. Namun, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan darjat kebesaran, eh kesabaran kepada setiap hamba-Nya, termasuk diri ini bagi digunakan sebaiknya. Jadi, saya pun cuba menjawab dengan penuh ketenangan sambil lidah dialunkan untuk mencari rentak lafaz pertuturan yang mengena.

“Salah tu. Kalau Acu baca betul-betul dalam artikel yang mufti tulis kat website dia, dia tak kata haram pun. Mufti cuma nasihat supaya umat Islam tidak terlibat atau menjauhi game tu kalau membawa kepada mudarat. Itulah masalah media atau berita, suka buat cerita sensasi. Last last, orang kita yang salah faham terus kutuk mufti. Bacanya malas, mengajinya malas, tapi tau nak hina ja.”

Acu hanya separa gelak tanda mengiyakan. Kemudian, saya menyambung, “sebab tu Angah lagi suka kalau Acu jadi software engineer. Cuba cari idea macam mana nak bantu hasilkan game yang boleh mendidik dan menambah iman. Kalau budak-budak main game tu, automatik ingat kat Tuhan.” Acu gelak. “Haha, macam mana tu?”

“Haaa, cubalah fikir,” saya menjawab. Konon hendak bagi jawapan selamatlah, tapi sebenarnya saya pun kekeringan idea. Entahlah, kadang-kadang kita ini asyik mencaci dan mengkritik sana sini, tetapi apa usaha kita bagi memperbaik situasi? Tampak semacam mustahil, tetapi hakikatnya tidak, bukan?

Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.