
“Oh, Allah! How can I forget Your beautiful verses?” Raungku dalam hati. Entah kenapa, secara tiba-tiba ingatanku seolah-olah menjadi kosong. Butir-butir hafalan yang telah dituturkan sejak sekian lama tiba-tiba melayang entah ke mana.
Saat itu, aku beristighfar dan berselawat panjang. Kalau boleh, aku mahu menangis semahu-mahunya pada masa dan di tempat itu juga. Namun begitu, aku cuba menahan deraian manik-manik halus itu daripada terus keluar.
Segala-galanya berjalan dengan begitu baik selama tempoh kurang lebih 11 minggu. Sehingga tersingkapnya minggu ke-12 kuliah, aku berjaya menamatkan kesemua senarai 11 buah surah yang dipertanggungjawabkan untuk aku menghafalnya. Bukan hanya sekadar menghafal kalimah per kalimah itu secara literal. Bukan juga disebabkan desakan akademik yang menuntut agar aku perlu lulus subjek itu supaya aku lulus jua untuk bergraduasi. Oh, tidak!
Bahkan, aku cuba untuk sentiasa meluruskan niat serta memahami setiap maksud dan mesej yang ingin disampaikan melalui setiap surah yang terkandung dalam juzuk ke-29 itu. Supaya dengan itu, aku berharap agar apa-apa yang kuucapkan daripada hasil hafalanku bukan hanya sekadar omongan kosong dan nihil tanpa sebarang penghayatan makna dan roh.
Apa guna aku bercakap dan apa guna aku bertutur kalau aku sendiri tidak memahami apa-apa pun yang aku cakap dan tuturkan? Kalau pengertian pun tidak tahu, bagaimana pula mahu mengambil intipatinya untuk dijadikan pengamalan seharian dalam kehidupan? Ini ayat-ayat Allah, beb. Aku nak layannya macam itu sahaja? Jangan, sesekali jangan. Begitulah halnya yang aku fikirkan terhadap penghafalan Kalam Allah itu.
Helaan nafasku naik dan turun dengan begitu laju. Konsistensi nampaknya sedikit lari. Aliran peluh juga mula membasahi tubuh dan pakaian putihku.
Entah bagaimana, aku boleh terlupa untuk membawa sampul yang berisi borang penilaian hafazan yang dikirimkan ketika malam sebelum ujian oleh abang senior pentasmik (pendengar bacaan hafazan) aku. Sampul itu perlu diserahkan kepada kakak penguji hafazan ketika ujian sedang berlangsung. Lantas, tanpa berfikir panjang, aku segera berpatah balik ke kolej kediaman untuk mengambil sampul yang sangat berharga itu.
Sekembalinya ke Akademi Pengajian Islam, dengan tanpa menenangkan diri dan menarik nafas panjang terlebih dahulu, aku terus saja masuk ke dalam pejabat yang mendebarkan itu. Kerusi dicapai dan ditarik lalu aku duduk bersandar di situ. Waktu itu, baru aku sedar bahawa aku berada pada suatu kondisi yang maha tidak tenang – dengan proses hembusan dan helaan nafas yang tidak teratur, ditambah pula dengan pendingin hawa yang sudah dimatikan – menambahkan lagi keresahan yang bergelojak dalam jiwa ini.
Oh, Tuhan! Semoga Engkau bisa membantu aku dan mengingatkan aku apa-apa yang aku terlupa pada saat-saat kecemasan ini.
“Awak dah tahu markah mid sem test hafazan awak?” Tanya akak itu kepada saya.
“Belum lagi, kak. Abang Sam (bukan nama sebenar) tak pernah tunjuk pun markah hafazan tu kat kitorang,” jelas aku kepadanya.
“Seriuslah? Dah tu, nak tahu tak markah awak berapa?”
“Eh, mestilah nak, kak!”
Betapa aku sudah lama mengimpikan saat itu bagi mengetahui markah sebenar ujian hafazan pertengahan semester aku yang dirahsiakan selama ini. Akak itu semacam tidak percaya dengan apa-apa yang dilihat olehnya pada kertas penilaian hafazanku. Berkali-kali dia seolah-olah menafikan nilai angka yang terpampang di objek putih itu.
“Biar betul ni? Apasal abang Sam bagi tinggi sangat? Takkanlah…” Katanya dengan nada dan mimik muka yang masih kurang percaya. Aku hanya tersenyum kerana geli hati sambil meluahkan rasa syukur kerana mendapat sedikit suntikan gembira sebelum ujian akhir hafazan bermula. Bismillah…
Sehingga kini aku masih menyalahkan diri sendiri atas kelemahan prestasi aku ketika mengulang hafazan ujian surah yang pertama sebentar tadi. Berkali-kali aku beristighfar dan bermuhasabah panjang mengapa aku boleh terlupa akan ayat-ayat-Nya yang Maha Indah itu, sedangkan sebelum ujian bermula, aku mampu mengungkapkannya dengan baik.
“Ok, akak bagi hint. Tapi, dua markah bonus yang akak nak bagi tu akak terpaksa tolaklah.”
Aku menerimanya dengan reda. Satu ayat daripada surah (nama surah dirahsiakan) itu diberikan bantuan. Kemudian, tiba satu ayat yang lain, aku tersangkut lagi. Serius, masa itu aku memang benar-benar terlupa. Ingatan aku terhadap hafalan ayat itu seperti lesap begitu saja. Walaupun aku telah cuba untuk mengaitkan makna ayat yang sebelum dengan ayat yang seterusnya, namun tetap tidak berhasil.
Bantuan kedua diberikan lagi. Aku lantas menyambung ayat tersebut dengan lancar dan beberapa ketika kemudian, aku tersangkut sekali lagi buat menyambung ayat yang keseterusnya. “Ya Allah, macam mana boleh terlupa ni?” Aku berbisik perlahan. Mata aku mula berkaca-kaca. Aku masih belum mampu tenang sedari tadi hakikatnya walaupun aku cuba berlagak untuk bertindak seperti itu. Ruang bilik itu senyap seketika tanpa ada sebarang patah bicara tilawah.
Akhirnya, tempoh masa maksimum lima minit untuk satu surah tamat. Aku tidak berjaya menamatkan ayat yang dikehendaki untuk surah yang pertama. Lantas, aku mengatup wajah dengan lengan mengenangkan nasib yang tidak berpihak kepada aku itu. Oh, Tuhan! Apa sudah jadi dengan aku ini?
“Awak ok tak ni? Boleh sambung surah kedua tak? Ka nak tukar dulu dengan orang lain?”
“Boleh sambung, kak. Surah tadi tu ja yang saya betul-betul terlupa. Allah, macam manalah boleh terlupa ayat tadi. Tak apa kak, lagi dua surah saya boleh, Insya-Allah.”
Saya nekad untuk tidak mahu berhenti separuh jalan. Perjuangan mesti diteruskan sehingga ke garisan penamat. Alhamdulillah, aku berjaya membuktikan bahawa markah yang tercatat dalam kertas penilaian hafazan aku itu bukan markah yang sia-sia, dan aku berjaya mengalunkan Kalam-Nya dalam dua buah surah itu dengan begitu baik dan lancar. Terpancar kelegaan saat mengungkapkan “صدق الله العظيم” selepas menyelesaikan ayat yang terakhir.
“Memang betullah abang Sam bagi markah macam ni kat awak.” Akhirnya akak tersebut dapat menerima kenyataan. Aku cuba memohon agar dapat digantikan surah yang aku tidak menunjukkan prestasi baik itu dengan surah yang lain, namun permintaanku ditolak mentah-mentah.
“Tak apalah markah lompong-lompong sikit, tak naklah penuh sangat. Janji lulus.” Aiya, rupa-rupanya akak ini memang sukar untuk memberikan markah kepada pelajar, huhu. Tidak mengapalah, janji saya sudah memberikan yang terbaik, Insya-Allah.
Peristiwa aku tersangkut ayat hafazan pada malam itu benar-benar membuatkan aku berfikir dalam-dalam. Memang benarlah, kalau Allah mengatakan sesuatu itu jadi, maka jadilah. Kalau sebaliknya, maka seperti itulah yang berlaku walau sekuat mana pun kita berusaha yang terbaik untuk melunaskannya. Nyata, takdir Allah melebihi segala perancangan makhluk dan hamba-Nya. Sesungguhnya, musibah ini benar-benar mendidik aku untuk menerima segala qadak dan qadar-Nya dengan dada yang lapang.
Tentu ada sebab yang kukuh mengapa aku boleh ‘hilang ingatan’ sedemikian rupa. Barangkali aku kurang beradab dengan sekalian firman-Nya ketika proses menghafal dan mengulang berlangsung. Barangkali niat aku tergelincir saat menjalankan proses hafazan tersebut. Barangkali aku ada mencipta masalah sesama manusia sebelum itu. Walau apa-apa jua kebarangkaliannya, nyata Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Aku sendiri yang perlu menggali hikmah di sebalik musibah ini.
Teringat kata-kata seorang pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam (JAPI) ketika sesi kuliah Pengantar Usuluddin berlangsung melalui sabdaan Nabi SAW yang mulia:
“ما شاء الله كان، وما لم يشأ لم يكن”
Moga-moga hafalanku ini tidak berhenti setakat di sini sahaja.
Moga-moga aku terus bersemangat dalam meneruskan kembaraku menghafal ayat-ayat cinta-Nya yang Maha Agung.
Moga-moga aku dapat mengamalkan setiap bait ayat-Nya dalam kehidupan agar aku bisa menjadi seorang Muslim yang lebih soleh.
Ya Allah, jadikanlah al-Quran itu sebagai musim bunga bagi hatiku dan cahaya bagi penglihatanku, amin!