Usik-Kuis-Siku

“لا إله إلا الله، إلها واحدا، ونحن له مسلمون!”
“Hidup, hidup! Hidup Islam!”
“Lawan tetap, lawan!”
“Takbir! Allahu akbar!”

Doa rabitah. Doa wehdah.
Demonstrasi jalanan.

Tidak kira sama ada laungan itu muncul daripada doa atau suara keramat tika himpunan raya, gempita teriakan itu tidak akan lengkap jika para pelaung itu tidak melakukan “ribat” – sepasang siku yang berada di kedua-dua belah lengan, masing-masing saling disilangkan antara satu sama lain.

Ribat itu simbol perpaduan dan kesatuan.
Ribat itu lambang keutuhan dan kekuatan.
Sekali ribat dipasang, jiwa dalam dada seakan-akan membara senyala-nyalanya.
Lantas, mahu saja langkah kaki terus diasung semahu-mahunya.

Siku 💪

Dalam bahasa Arab, siku disebut sebagai “مِرْفَق”. Siku itu menjadi suatu sudut pada lengan setiap manusia yang sempurna sifat tangannya. Tanpa siku, mana mungkin lengan kita bisa diayun dan dibengkokkan dengan begitu bersahaja.

Mungkin atas faktor itu, orang Melayu menamakan orang kedekut sebagai “buruk siku” sebagai perlambangan bahawa tangannya punyai suatu sudut yang sangat jelek sifatnya, iaitu sangat sukar untuk menghulur atau meminjamkan sesuatu kepunyaan miliknya yang bernilai kepada orang lain disebabkan fungsi siku tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ok, mengarut.

Bercakap soal “مرفق”, tentunya perkataan itu adalah salah satu kata terbitan daripada kata asalnya, iaitu kalimah “رَفَقَ – يَرْفُقُ – رِفْقًا”. Lantas, fikiran kembali melayang ke arah suatu program Ihya’ Ramadan yang pernah dijalankan serta yang pernah saya bergerak kerja bersama-sama dalamnya ketika zaman asasi dahulu. Bukan, bukan di Nilam Puri, tetapi di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

Itulah dia, RIFQOH atau nama penuhnya “Ramadan is the Fragrance Quality of the Heart“. Masakan boleh lupa akan kenangan ini? Saya dan sahabat-sahabat asasi yang lain, terutamanya daripada Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) kohort ke-12 yang ketika itu sedang menyambung pengajian asasi di PASUM, tiba-tiba terbit rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing akan peri pentingnya menghidupkan pembudayaan Ramadan, khususnya dalam kalangan para pelajar PASUM di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12). Matlamat kami agar Ramadan yang dilalui di sana tidak dibiarkan begitu saja tanpa atur cara yang bermanfaat.

Apabila disebut “RIFQOH”, pasti memori tidak akan lari daripada bercerita perihal pengarah kami pada waktu itu, Rofiq (رَفِيْقٌ).

Rofiq dan Rifqoh, semacam ada konspirasi di situ. Eh?
Rofiq, teman setia.
Rifqoh, persahabatan. 👥

Alhamdulillah, sepanjang saya bernafas di atas muka Bumi selama 21 tahun ini, telah banyak saya bertemu dengan sahabat yang bernama “Rafiq” (atau “Rofiq” atau mana-mana ejaan yang hampir serupa dengannya). Ya, kesemua mereka sememangnya menepati ciri-ciri sebagai seorang teman setia pilihan.

Merekalah “siku” tempat saya berpaut kepadanya bagi mengumpul semula kekuatan diri.
Merekalah “siku” untuk saya bersenda gurau dan berkongsi masalah dengannya.

Dan sememangnya, banyak lagi “Rafiq” lain yang sentiasa melingkari kehidupan ini. “Rafiq-Rafiq” inilah yang sentiasa ada di sisi bagi berkongsi “siku-siku” mereka agar kepala yang kian dihinggap kantuk ini ada penongkatnya untuk didagukan.

Ya, kalianlah “Rafiq” saya. Kalian jugalah “siku” saya yang telah mewarnai hidup saya selama ini. Terima kasih kepada semua untuk itu. Hanya Allah jua yang mampu membalas segalanya. 😌

Jadi, kepada anda di luar sana, siapakah “Rafiq” yang bisa menjadi “siku” buat anda? 🙂


« اهدنا الصراط المستقيم، صراط الذين أنعمت عليهم من النبيين والصديقين والشهداء والصالحين، وحسن أولئك رفيقا »

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.