Mari Merungut dan Bersungut

2015 telah pun melabuhkan tirainya semalam. Ibarat kebiasaan, kebanyakan orang sudah pasti mahu menutup tahun yang penuh suka duka itu dengan penutup yang bahagia serta memasuki era 2016 dengan permulaan yang mempesona. Ya, sudah fitrah semula jadi manusia, kita sememangnya mahukan yang terbaik dalam segenap inci dan ruang yang wujud dalam hidup ini. Semua orang mahukan kebahagiaan. Setiap orang menginginkan kedamaian.

Namun begitu, walau fasa 2015 sudah tiba ke penghujung, masih kedengaran juga pelbagai cerita kurang enak yang sering menyinggahi jaluran halus cuping telinga. Bertalu-talu. Bermula dengan kisah dua jenis pekerjaan, disambung pula dengan kes Encik Zulkifli dan van putih, serta janji pemerintah kita yang berazam memastikan tanah watan kita menjadi lebih makmur dan sejahtera pada tahun depan — semuanya telah saya dengar dan baca sama ada melalui usaha sendiri atau perantaraan orang lain.

Belum lagi dikira dengan pelbagai masalah yang berlaku pada sebelum ini — isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, kejatuhan nilai wang ringgit, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), serta bermacam-macam lagi isu nasional mahupun antarabangsa. Maka, kedengaranlah (kalau penulisan, baca: kelihatanlah) komen-komen dan ulasan-ulasan daripada para wargamaya dengan pelbagai citarasa dan warna. Ada yang bersifat rungutan dan sungutan. Malahan, tidak kurang juga yang bersifat cacian, perlian, dan makian.

Apa yang pasti, saya tetap dengan perangai saya — tidak mahu mengulas segala isu tersebut dengan lebih lanjut kerana lebih selesa untuk berdiam diri dan terus melakukan pemerhatian.

Kalau dalam konteks pelajar pula, rata-rata mahasiswa Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia kini sedang berjuang bermati-matian dalam usaha untuk terus bernafas dalam medan peperiksaan. Ya, cuping telinga saya disapa lagi. Tetapi, kali ini dengan suara-suara keluhan dan rungutan sahabat-sahabat yang terasa begitu sesak untuk terus berenang menempuh lautan ilmu yang maha luas ini. Sudahlah yuran pengajian dan kos sara hidup tinggi yang amat, ditambah pula dengan tekanan hidup belajar.

Ya, seperti biasa, saya tetap juga dengan perangai saya — lebih selesa untuk menutup mulut (kalau penulisan, baca: tidak menaip) dan hanya memerhatikan saja gelagat mereka yang berada di sekeliling.


Formula kebanyakan daripada kita ini mudah sahaja sebenarnya. Banyak MERUNGUT dan BERSUNGUT.

Rakyat marhaen merungut dengan negaranya.
Mahasiswa bersungut dengan akademiknya.

Saya?

Suka untuk saya mengajak sahabat-sahabat dalam bersama-sama menghayati doa Nabi Ya’qub AS ini:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى الله…

“Sesungguhnya, aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah…”

[Yusuf, 12: 86]

Lihat juga khutbah Nabi Musa AS:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, ‘demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.'”

[Ibrahim, 14: 7]

Dan juga ungkapan Nabi Sulaiman AS:

وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيم

“…Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”

[Al-Naml, 27: 40]

Sebesar dan sebanyak mana pun lahar rungutan dan sungutan yang ingin dimuntahkan, hayatilah peribadi Ya’qub AS yang sangat hebat diuji dengan hanya mengeluh dan mengadu kepada Allah sahaja. Kadang-kadang, kita terlalu banyak berkeluh-kesah sehingga terlupa untuk bersyukur dengan apa-apa yang telah kita ada di hadapan mata. Bersyukurlah kerana masih punya tubuh badan yang sihat untuk beramal dan berbakti. Bersyukurlah kerana masih punya kesempatan untuk menuntut ilmu yang mungkin tiada pada orang lain. Bukankah itu janji Allah bahawa orang yang bersyukur pasti akan ditambahi rezeki melalui sabdaan para Nabi-Nya?

Syukur bukan bermakna akur dengan kezaliman. Diam bukan bermakna reda dengan kecelaruan. Diam perlu juga disertai dengan tindakan dan usaha. Bersifatlah analitikal sebelum mengeluarkan apa-apa perkataan dan menzahirkan perbuatan. Cuba untuk sentiasa bersikap optimis dan memandang setiap sesuatu dengan pandangan positif, bukan hanya sentiasa bersikap pesimis dan memandang setiap sesuatu dengan pandangan negatif sahaja. Kalau sudah semua tidak mampu buat, lebih baik berdiam diri daripada menghamburkan kata-kata dosa dan nista.

Persoalannya, apa tindakan yang telah dilakukan untuk mengislahkan diri demi agama? Banyak mana usaha yang benar-benar dikerahkan untuk menuju ke arah negara yang lebih sejahtera? Hanya sekadar merungut dan bersungut serta masih lagi lalai dengan filem, permainan, dan gajet?


2016 ini, ayuh sama-sama kita dambakan, sama-sama kita memasang cita-cita, untuk lebih kuat berkhidmat dan berbakti demi kemaslahatan umat sejagat. Teringat bait kata Raef dalam salah satu lagunya, Dream:

“Too many times I’ve walked through these streets
Wondering where we went wrong
Our hands alone can feel so helpless and weak
But surely with yours they’ll be strong
Our problems and fears will soon disappear
If we try hard enough they’ll all be gone
Brothers and sisters, it takes each of us
Together we can overcome!
We shall overcome”

Salam Tahun Baharu Masihi 2016!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.