Eh, kita nak mulakan dengan apa ya?

“Cepat! Cepat! Kita dah nak sampai ke checkpoint yang terakhir dah ni,” ujar Friedel kepada sahabat-sahabat ahli kumpulannya yang lain. Empat orang kesemuanya: Kedley, Henderson, Ruffey, dan Champion. Mereka berlari kepenatan menuju ke tempat pemeriksaan (checkpoint) yang dimaksudkan. Almaklumlah, sudah lima buah tempat pemeriksaan telah mereka tempuhi. Kini, mereka akan melalui fasa terakhir sebelum kembali semula ke tempat permulaan.
Kelihatan di gelanggang badminton sana, dua susuk tubuh sedang tekun menanti kehadiran sang perwira penerokaan (explorace). Tersenyum melihat gelagat lima orang tunas Islam tersebut saat menyerbu tempat pemeriksaan mereka.
“Abang, betul kan ni checkpoint ‘Arena Merah’?” tanya Ruffey kepada Bro Sheffield. Beliau hanya mampu mengukir senyuman. “Tepat sekali! Tahniah ya adik-adik! Oh ya, kumpulan adik sekarang ni dah checkpoint yang terakhir kan?” celah Sis Merida sambil memberikan tepukan. Jelas terpancar kelegaan pada wajah kelima-lima orang ahli kumpulan ‘Le Coureurs’ tersebut. “Ya, kak! Kami dah tak sabar nak habiskan explorace ni, hehe,” seloroh Kedley sambil matanya melirik ke arah Bro Sheffield. Sedari tadi beliau hanya berdiri lagak seorang maskulin sejati saja dan… Masih tersenyum.
“Okay, memandangkan adik-adik sangat bersemangat nak tamatkan explorace ni secepat mungkin, jadi akak pun rasa bersemangat jugalah nak bagi tugasan untuk adik-adik. Adik-adik boleh duduk dulu ya,” kata Sis Merida sambil menerima lima helai kertas dan lima batang pen daripada Bro Sheffield. Semua ahli Le Coureurs sudah duduk bersila sambil menanti arahan seterusnya. “Okay, akak akan bagi sehelai kertas dan sebatang pen ni setiap seorang. Tugasannya ialah… Adik-adik hendaklah catat kat atas kertas tu semua nikmat yang adik-adik perolehi sejak adik lahir sampai sekarang. Nikmat ni macam semua benda baik yang kita dapatlah. Senaraikan semua nikmat tersebut dalam masa seminit sahaja. Boleh?”
“Hah, seminit ja? Sempat ka nak tulis semua?” kata Henderson sambil mengerutkan dahi. Ada yang membulatkan mata. Ada juga yang buat-buat batuk kononnya tercekik biji durian. “Eh, seminit lama apa! Kan dah banyak gila nikmat yang kita dapat sejak kita hidup ni sampai sekarang. Senaraikan ja apa-apa yang terlintas di fikiran adik. Boleh ya, adik-adik?” tanya Sis Merida. “Boleh, akak!” jawab ahli Le Coureurs serentak. Seperti biasa, Bro Sheffield yang berdiri di samping Sis Merida masih lagi tersenyum.
"Baik, dalam kiraan 1, 2, 3, mula!"
Terus adik-adik Le Coureurs mencatat apa-apa saja nikmat yang terlintas dalam fikiran. Ada yang beberapa saat berhenti sebentar, kemudian menyambung semula catatannya. Berfikir, mungkin. Bro Sheffield dan Sis Merida hanya memerhatikan mereka yang sedang sibuk berada dalam alam fantasi masing-masing. Tersenyum.
“Okay, masa dah tamat! Udah, udah. Adik-adik diminta berhenti menulis sekarang ya. Boleh bagi kertas dan pen yang adik-adik pegang tu kat abang Sheffield,” ujar Sis Merida kepada ahli Le Coureurs. Mereka menuruti arahan tersebut tanpa banyak soal.
Bro Sheffield membelek setiap helaian kertas yang ada di tangannya. Meneliti senarai nikmat yang telah dicatat dengan penuh minat. Nikmat iman dan Islam, nikmat ibu bapa, nikmat makan, minum, tidur, belajar, pergi sekolah, main, bernafas, pancaindera, dan banyak lagi. Tersenyum Bro Sheffield membacanya. Bagus adik-adik ni, getusnya dalam hati.
Adik-adik Le Coureurs gelisah melihat Bro Sheffield yang asyik tersenyum semenjak mula mereka tiba di tempat pemeriksaan tersebut. Entah apa yang difikirkannya, masing-masing tidak tahu.
Suasana hening seketika. Bro Sheffield kemudian menyerahkan kesemua helaian kertas tersebut kepada Sis Merida dan melangkah ke hadapan. Semua mata tertumpu kepada Bro Sheffield. Fokus. Akhirnya beliau mula mengeluarkan suara. “Baik, adik-adik,” Bro Sheffield memulakan bicara. “Sebentar tadi, adik-adik dah senaraikan semua nikmat yang adik-adik dapat sejak adik-adik lahir sampai sekarang, kan? Apa yang abang baca tadi, Alhamdulillah, semua jawapan yang adik-adik bagi, kesemuanya betul. Beri tepukan untuk diri sendiri!” Ahli-ahli kumpulan Le Coureurs bertepuk tangan. Bangga mereka. Bro Sheffield tersengih.
“Tapi…” Bro Sheffield menyambung semula percakapannya. “Dalam banyak-banyak nikmat yang adik-adik tulis tu kan, ada lagi nikmat yang adik-adik tak tulis sebenarnya. Cuba teka apa dia?” Mereka berpandangan sesama sendiri. “Nikmat iman dan Islam ka, abang?” tanya Champion. “Eh, yang tu dah ada dalam senarai nikmat yang adik-adik tulis. Cuba teka lagi. Jawapan lain?”
“Nikmat kesihatan dan masa lapang!” kata Ruffey pula. “Jawapan tu dah betul, tapi kurang tepatlah, hehe,” ujar Bro Sheffield.
“Nikmat berlari!” “Bukan.”
“Nikmat tempat tinggal!” “Pun bukan.”
“Nikmat iPad, PlayStation, games!” “Haha, apa tu? Salah tu.”
“Nikmat… hidup!” “Emm, masih kurang tepat, hehe.”
Masing-masing sudah tampak berputus asa. Friedel, Kedley, Henderson, Ruffey, dan Champion. Apa-apa jawapan yang diberikan semuanya tidak betul. Jadi, apa yang betulnya? “Macam mana adik-adik? Takkan dah nak mengalah kot. Kata lelaki sejati,” kata Bro Sheffield sambil tersenyum. Geli hatinya melihat reaksi adik-adik Le Coureurs sambil masih menunggu jawapan yang paling tepat daripada mereka. Tiba-tiba, kedengaran satu suara menyebut, “banyak sangatlah nikmat ni, tak terkira…”
Hah, itu pun dia! Jawapan yang sangat ditunggu-tunggu akhirnya kunjung tiba! “Siapa yang cakap tadi?” tanya Bro Sheffield kepada mereka. “Friedel, bang!” jawab ahli Le Coureurs serentak sambil menunjuk dan berpaling ke arah Friedel yang duduk di tepi sekali. Friedel terdiam. “Friedel, cuba sebut semula apa yang Friedel cakap tadi,” pinta Bro Sheffield. “Err, nikmat yang kita ada banyak sangat, tak terkira,” kata Friedel, gugup.
“Alhamdulillah, betul dah tu. Tepat sekali! Jawapan yang abang nak dah ada. Jadi, berikan tepukan gemuruh untuk Friedel!” Seluruh ahli Le Coureurs memberikan tepukan. Friedel hanya mampu tersengih. “Baik adik-adik, dengar sini baik-baik ya. Apa yang Friedel sebut tu tersangatlah betul, iaitu nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita sejak kita lahir hingga kini tersangatlah banyak sehingga tak terkira banyaknya, daripada nikmat hidup sebagai Muslimnya, nikmat bernafasnya, nikmat ibu bapanya, dan lain-lain lagi nikmat yang pasti kita sebagai hamba-Nya tidak mampu menghitung nikmat-Nya satu persatu.
Meskipun kita selalu saja mengingkari perintah-Nya, namun betapa kasih sayangnya Allah, Dia masih lagi melimpahkan nikmat-Nya untuk kita. Kalau kita bayar kesemua nikmat tersebut dengan selautan syukur kita pun, hanyalah setitis daripada setiap nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah di Bumi ini,” terang Bro Sheffield dengan panjang lebar. Adik-adik Le Coureurs mendengar penjelasannya dengan penuh khusyuk dan insaf. Subhanallah, maha luasnya nikmat Allah!
“Jadi adik-adik, bagi menghargai nikmat pemberian Allah dan bagi menyatakan syukur serta cinta kita kepada-Nya, apa perlu kita buat? Ya, sentiasalah mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Boleh, adik-adik?” soal Bro Sheffield. “Boleh, Insya-Allah!” jawab ahli Le Coureurs dengan penuh bersemangat. “Alhamdulillah, mudah-mudahan kita akan menjadi hamba Allah yang bertakwa di sisi-Nya, amin,” Bro Sheffield mengakhiri ucapannya. Sis Merida yang berdiri di sisinya terharu melihat sinar yang ada pada wajah-wajah bakal pejuang Islam di hadapannya. Kali ini, giliran beliau pula tersenyum.
“Alhamdulillah, adik-adik. Selesai sudah checkpoint kita untuk kali ini. Harap semua dapat ambil iktibar daripada apa yang kita buat hari ini ya! Okay, adik-adik boleh pulang semula ke tempat permulaan explorace,” ujar Sis Merida. “Terima kasih, abang Sheffield! Terima kasih, akak Merida!” kata adik-adik Le Coureurs sambil berlalu pergi. Bro Sheffield dan Sis Merida melemparkan senyuman manis.
Mereka memerhatikan perjalanan adik-adik Le Coureurs dari belakang dengan menyimpan segunung harapan. Ya Allah, semoga kami dan adik-adik ini berhasil menjadi mata rantai penyambung risalah perjuangan Islam, agar cita-cita kami untuk melihat tertegaknya syariat Islam di mata dunia ini kembali menjadi realiti. Ya Allah, perkenankanlah!